Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Mahua Waterfall Lokasi Keajaiban Yang Tersembunyi

By 16 Disember 2018Tiada komen7 minit bacaan

Laporan/foto: Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 17 Dis (Malaysiaaktif) – Keredupan suasana hutan hijau semula jadi serta bunyian unggas yang membisikkan irama merdu pastinya mengikat hati sesiapa sahaja untuk datang berkunjung lagi ke lokasi keajaiban yang tersembunyi di Mahua Waterfall.

Pelbagai info aktiviti boleh didapati berhampiran pintu masuk Mahua Waterfall.

Pelbagai info aktiviti boleh didapati berhampiran pintu masuk Mahua Waterfall.

Perjalanan mengambil masa sejauh satu jam setengah dari Kota Kinabalu ke Tambunan dan melalui Kampung Patau terasa selamat serta mudah kerana jalan raya yang elok dan berturap akan anda lalui.

Setibanya di Mahua, pengunjung perlu berjalan kaki kira-kira tujuh minit pula untuk sampai ke kawasan air terjun tetapi tempoh itu tidak terasa lama bergantung bagaimana caranya anda menikmati keindahan alam kerana laluan yang bakal ditempuh telah dihiasi dengan tumbuhan renek dan pemandangan pokok hutan yang indah terpelihara.

Papan tanda penunjuk arah yang disediakan untuk kemudahan pengunjung.

Papan tanda penunjuk arah yang disediakan untuk kemudahan pengunjung.

Walaupun demikian tenteram suasananya, menurut Selebriti Media Sosial, Adam Shamil, 24, Mahua Waterfall merupakan destinasi pelancongan yang belum cukup dikenali jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain seperti di Kota Belud ataupun Kundasang, kerana ia merupakan tempat yang jarang didengari.

“Setiap kali apabila keluarga saya dari Kuala Lumpur datang ke Sabah untuk bercuti, mereka tidak tahu lokasi yang sesuai untuk dituju selain dari Pulau Manukan dan Mamutik, lantas untuk kali ini saya bawa mereka ke sini.

Adam Shamil.

Adam Shamil.

“Jika dibandingkan dengan tempat tarikan pelancongan yang lain, Mahua Waterfall sememangnya lokasi yang mudah dicari dengan menggunakan aplikasi Waze dan Google Maps. 

“Datang ke sini tidak perlu melalui jalan yang berbukit bukau, walaupun agak jauh dari daerah Penampang tempat kami menetap, tapi bila sudah tiba di Mahua, memang rasa berbaloi,” jelasnya.

Tambah Adam, tempat tersebut mampu menjadi tarikan kerana kecantikan flora fauna di sana dan pada masa yang sama dikenakan yuran masuk yang mampu milik.

Adam bersama keluarga yang datang dari semenanjung.

Adam bersama keluarga yang datang dari semenanjung.

Katanya, pengunjung hanya perlu membayar RM3.00 dan dapat melihat keindahan tuhan yang dikurniakan kepada masyarakat di Sabah, justeru Adam merasakan ini satu peluang untuk kita menghargai ciptaan tuhan.

“Penjagaan alam sekitar setakat ini memang cukup memberangsangkan, ini merupakan kali ke-3 saya berkunjung ke sini dan saya perhatikan tempat ini memang terjaga bersih dan tiada sampah.

“Komuniti melakukan tugas yang baik dalam penjagaan alam sekitar dan itu merupakan suatu perkara yang penting kerana jika tempat ini kotor, pada masa hadapan akan memberi impak yang negatif dan secara tidak langsung akan mendorong  pengunjung pergi ke tempat lain pula.

Adam bersama keluarga merakamkan kenangan di Mahua Waterfall.

Adam bersama keluarga merakamkan kenangan di Mahua Waterfall.

“Jadi kebersihan alam sekitar dan kebersihan perlu diutamakan dan itu merupakan tanggung jawab pengunjung yg datang ke sini, dan memastikan kebersihan dijaga dengan cukup baik,” ujar Adam.

Adam turut berharap agar suatu hari nanti dan tidak lama lagi Mahua Waterfall akan menjadi tempat yang digemari dan menjadi salah satu tempat tarikan pelancong di Sabah dan wajib dikunjungi.

Arthur Severinus.

Arthur Severinus.

Dalam pada itu, salah seorang anggota penyelamat, Arthur Severinus, 37 yang baru sahaja melaporkan diri bertugas di Mahua Waterfall pada Mac 2018 merasakan pengalaman berbeza berbanding bertugas di laut sebelum ini.

“Sangat berbeza bertugas di laut seperti sebelum ini kerana kebanyakan masa saya tinggal di kawasan pulau dan keadaan cuaca di sana jauh berbeza berbanding di kawasan Mahua yang jauh lebih sejuk.

“Tugas kami di sini menyelamat pelancong yang mengalami kesukaran tidak dapat keluar daripada laluan yang sejauh 12 kilometer seperti yang pernah berlaku sebelum ini dan kami adalah antara penyelamat yang akan membantu.

Rutin harian Arthur memastikan kawasan laluan ke air terjun sentiasa bersih.

Rutin harian Arthur memastikan kawasan laluan ke air terjun sentiasa bersih.

“Kawasan air terjun ini mengalir sampai ke sungai, maka di kawasan ini kami sentiasa perlu melakukan pemantauan yang kerap di sekitar kawasan air terjun untuk memastikan keselamatan pelancong yang mandi dan beriadah,” jelasnya.

Menurut Arthur, pelancong yang kerap datang berkunjung selain daripada masyarakat tempatan ialah dari semenanjung serta luar negara seperti Jepun, Itali, Belgium dan Jerman.

Keindahan pemandangan sepanjang jalan menuju ke kawasan air terjun.

Keindahan pemandangan sepanjang jalan menuju ke kawasan air terjun.

“Bilangan pelancong jika dilihat semakin meningkat dan menggalakkan terutama sekali selepas laluan mendaki dibuka.

“Kawasan air terjun ini sudah mula menarik perhatian ramai orang bukan sahaja pada pendaki, tetapi juga mungkin pengunjung yang sudah berkunjung di sini dan berkongsi pengalaman yang mereka rasai hingga rakan dan keluarga turut sama ingin merasai pengalaman itu.

“Keseronokan di sini apabila bertugas saya dapat merasakan alam sekitar itu amat penting kepada kehidupan manusia dan saya rasa gembira serta menyayangi pekerjaan saya.

Pokok hutan yang menghiasi perjalanan sesejuk mata memandang.

Pokok hutan yang menghiasi perjalanan sesejuk mata memandang.

Alam semulajadi membuatkan hati saya lebih bersungguh-sungguh untuk bekerja dan niat untuk menjaga alam sekitar itu saya tanamkan dalam hati setiap hari,” ujar Arthur tulus.

Arthur turut berkongsi peristiwa ketika dia cuba menyelamatkan beberapa pendaki yang terkandas di denai kerana berlaku fenomena banjir besar buat pertama kali di Mahua pada 3 Mac yang lepas. 

“Pada ketika saya baru sahaja melaporkan diri bertugas pada hari ke 3, waktu itu air naik sangat tinggi dan pelancong kebanyakan sudah sampai kawasan air terjun tetapi tidak dapat meneruskan perjalanan disebabkan keadaan air sungai yang besar dan tidak ada laluan untuk mereka sampai ke kawasan pejabat.

Antara pondok-pondok rehat yang disediakan untuk kemudahan pengunjung.

Antara pondok-pondok rehat yang disediakan untuk kemudahan pengunjung.

“Jadi kami mencari alternatif lain untuk membuka satu jalan baharu di sebelah bukit dan kami membawa pemandu arah serta pendaki-pendaki untuk mengikuti jalan tersebut.

“Untuk sampai ke kawasan yang selamat memang sangat mencabar kerana ada beberapa kawasan laluan keluar dari stesen air terjun Mahua telah runtuh ditutupi batuan besar hingga kereta menghadapi kesukaran untuk melaluinya.

“Lebih kurang lima jam tempoh yang diambil untuk menyelesaikan masalah tersebut bermula 4.30 petang ketika air banjir mulai naik sehingga 8 malam selepas semua pendaki dan pengunjung selamat, ” kongsi Arthur.

Keindahan batuan di tepi air terjun menaikkan seri pemandangan

Keindahan batuan di tepi air terjun menaikkan seri pemandangan

Selain daripada itu, rutin seharian Arthur juga ialah menjaga kebersihan kawasan air terjun, yang sudah menjadi salah satu tugasan utamanya demi keselesaan pelawat yang datang setiap hari.

“Harapan saya agar tempat ini menjadi terkenal pada masa akan datang dan kami harap akan ada aktiviti baru yang boleh dibuat di kawasan air terjun selain mandi manda.

“Saya akan cuba bincangkan dalam mesyuarat agar dapat ditambah aktiviti rock climbing kerana ada pakar-pakar yang beri cadangan bahawa jika aktiviti itu dibuat, tahap kesukaran untuk selesaikannya dilabekan sebagai gred A iaitu cukup mencabar.

Dr. Juanis berharap agensi memberi bantuan kemudahan capaian jalur lebar.

Dr. Juanis berharap agensi memberi bantuan kemudahan capaian jalur lebar.

“Saya juga berharap agar capaian internet akan lebih baik berbanding sekarang kerana hanya ada satu talian telko sahaja berfungsi dan semoga telko lain juga dapat memberi perkhidmatan mereka supaya semua pengguna data dapat menikmatinya,” akhiri Arthur.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Mahua Homestay, Dr. Juanis Yajuni dan timbalannya, Sulaiman Yuliti mengakui persekitaran di Mahua sangat tenteram serta fasiliti yang semakin bertambah sesuai untuk menjalankan apa juga aktiviti.

Mereka yang merupakan rakan akrab sejak zaman persekolahan gembira kerana ramai mahasiswa yang datang ke Mahua seperti daripada Denmark dan negara Eropah lainnya untuk membuat tesis dan kajian serta ada juga membuat kolaborasi dengan institut pengajian tempatan seperti Universiti Malaysia Sabah.

“Kami baru sahaja mendapat penyerahan kawasan daripada Majlis Daerah Tambunan, dan dalam masa terdekat kami bercadang untuk mengadakan kunjungan hormat kepada Pegawai Daerah dan orang-orang tertentu untuk mendapatkan khidmat nasihat tentang penambahbaikan yang perlu di sini.

Pelbagai aktiviti yang disusun untuk dilakukan oleh Sulaiman.

Pelbagai aktiviti yang disusun untuk dilakukan oleh Sulaiman.

“Sebelum ini, kami hanya mendapat kebenaran untuk beroperasi sahaja, tetapi untuk memulakan sesuatu perkhidmatan yang baharu pula kami belum pasti samada mereka akan memberikan persetujuan.

“Sehingga hari ini, kami belum sempat membuat kunjungan hormat di pengurusan pentadbiran di peringkat daerah yang kita maklum sehingga kini belum lagi begitu teratur, dan itu yang menyekat kami.

“Saya harap pada masa hadapan, sesiapa sahaja di tampuk pemerintahan dapat melihat bahawa pelancongan ini sebagai satu industri yang penting kepada bumiputera dan kita perlukan respons positif mengenai hal ini daripada mana-mana pihak,” ujar mereka.

Pemandangan pokok hutan yang indah sesuai untuk terapi minda.

Pemandangan pokok hutan yang indah sesuai untuk terapi minda.

Mereka turut menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan pihak sekolah antaranya dari segi mempromosikan kebudayaan kerana kebanyakan pelancong lebih tertarik melihat persembahan kanak-kanak kecil dan jika sudah ada kata putus, ia akan diselitkan sebagai salah satu aktiviti di kawasan itu.

“Di samping itu, kami juga bercadang untuk mengadakan persembahan muzik seperti gong dan tagunggak yang dimainkan oleh murid sekolah supaya pihak sekolah juga dapat memainkan peranan dalam mempromosi.

“Pengurusan unit Borneo Resort di Sinurambi pernah mencadangkan agar mereka dapat membantu pengurusan di Mahua, dan kami telah beberapa kali berbincang mengenai hal itu, namun kami tidak memahami apa pula peranan koperasi jika mereka mengambil alih peranan pengurusan.

Tumbuhan unik yang di temui di kawasan air terjun seolah-olah daun sirih.

Tumbuhan unik yang ditemui di kawasan air terjun seolah-olah daun sirih.

“Namun mereka juga memberi jaminan untuk kekalkan komuniti sebagai jawatankuasa pelaksana kerana mereka hanya ingin mengadakan usaha sama.

“Apa yang pasti mereka turut mengesyorkan agar kami menyediakan makanan tradisional seperti salad mahua di mana tumbuhan tersebut hanya dapat diperoleh di sekitar lokasi ini beserta menu teppu yang diperah dengan limau yang amat digemari oleh pelancong asing,” kongsinya.

Mereka juga berharap hasil kunjungan daripada pelancong mampu memberi impak besar terutama sekali peningkatan terhadap ekonomi masyarakat setempat, kerana apabila ekonomi meningkat, secara tidak langsung taraf hidup juga meningkat.

“Kami mengharapkan supaya agensi yang berkenaan dapat membantu meningkatkan kemudahan yang ada di sini supaya dapat memberi keselesaan kepada pengunjung apabila mengunjungi Mahua.

“Sebenarnya sejak dari awal kami telah menulis surat kepada syarikat-syarikat telko melalui Pejabat Daerah tetapi hingga kini belum ada maklum balas, mudah-mudahan dengan pemerintahan baharu ini dapat membantu kita meningkatkan kemudahan internet di sini serta diadakan pemantauan berkala,” katanya.

EM

Tinggalkan komen anda