Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Masyarakat Perlu Gunakan Air Dengan Bijak

By 19 Disember 2018Tiada komen2 minit bacaan
Laporan dan Foto : Mohamad Zairin Mohamad Zin

SHAH ALAM, 19 Dis (Malaysiaaktif) – Satu program wacana bertajuk Konservasi Air : Di Manakah Malaysia? telah diadakan di Dewan Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam semalam. Untuk wacana kali ini, moderator bertindak adalah Ally Iskandar Mohd Mardzi.

Menurut Pengarah Eksekutif Kumpulan Malaysian Water Association (MWA) selaku panel pertama, Lee Koon Yew, “purata penggunaan air bagi setiap individu di negara ini adalah sebanyak 201 liter air sehari dan jumlah berkenaan adalah bersamaan 134 botol air bersaiz besar yang digunakan oleh setiap seorang”.

“Ini memberikan gambaran serius berkaitan penggunaan air yang banyak serta membabitkan kos yang tinggi”, kata beliau lagi.

Tegas Lee lagi, “perlu mendidik masyarakat bahawa air ini melibatkan kos yang tinggi termasuk rawatan dan kos-kos yang lain”

Dr. Xavier Jayakumar A/L Arulanandam, Menteri Air, Tanah Dan Sumber Asli

Dr. Xavier Jayakumar A/L Arulanandam, Menteri Air, Tanah Dan Sumber Asli

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara selaku panel kedua, Datuk Mohd Ridhuan Ismail, “SPAN akan mewajibkan projek pembangunan baru menggunakan peralatan cekap air bermula tahun depan selaras usaha kerajaan mengurangkan penggunaan air bagi setiap rakyat kepada 180 liter menjelang 2020”.

“SPAN menggalakkan penggunaan produk cekap air seperti sistem simbah air dual dalam pembangunan baru dan dengan kaedah ini penggunaan air dapat dikurangkan tanpa menjejaskan perkhidmatan yang dinikmati rakyat”, kata Ridhuan lagi.

Menurut Ridhuan lagi, “ketika ini, rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 220 liter air sehari dan ia agak tinggi berbanding negara lain. Terdapat lima jenis produk cekap air melalui Skim Pelabelan Produk Cekap Air (SPPCA) iaitu paip air, peralatan tandas, urinal, pancuran mandi dan mesin basuh”.

Menurut Menteri Air, Tanah Dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar A/L Arulanandam, “kerajaan sedang mengkaji secara menyeluruh tentang air bawah tanah sebagai sumber baru air. Kini, negara mempunyai 3 hingga 5 trilion air bawah tanah dan setakat ini hanya Kelantan saja yang menggunakan air bawah tanah”.

“Memang ada yang kata jika kita guna air bawah tanah akan mengakibatkan mendapan tanah, tapi di negara ini ada 196 hari hujan dan kita tidak ada masalah untuk itu”, kata Xavier lagi.

“Kerajaan memberi jaminan pelaksanaan kenaikan tarif air tidak akan membebankan golongan B40 dan kenaikan tarif air di seluruh negara akan dilakukan pada kadar munasabah serta kenaikan tidak akan mencapai sehingva 100 atau 200 peratus”, tegas Xavier lagi.

Beliau turut berkata jika mahu industri air kita ke hadapan, kita perlu naikkan tarif ini tetapi jika tidak, ia tidak akan membawa perubahan.

Wacana ini telah dihadiri seramai lebih 200 orang dan terdiri daripada wakil-wakil penduduk, agensi kerajaan, agesni swasta, dan juga wakil daripada badan bukan kerajaan (NGO).

 

-NAZ

Tinggalkan komen anda