Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Program Kembali Ke Sekolah 2019 Bantu Seribu Pelajar di Kedah

By 9 Disember 2018Tiada komen1 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Noor Azian Saad (Kota Setar)

ALOR SETAR, 9 Dis (Malaysiaaktif) – Seramai 40 orang pelajar sekolah rendah telah menerima sumbangan beg sekolah dan keperluan pakaian sekolah dan alat tulis di dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Program Kembali Ke Sekolah 2019.

40 pelajar yang terpilih mewakili seribu penerima sumbangan adalah daripada keluarga berpendapatan rendah dan sumbangan disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Dewan Seri Mentaloon, Kediaman Menteri Besar Kedah semalam.

Program dengan kerjasama Yayasan Salam ini bertujuan untuk membantu pelajar-pelajar kurang berkemampuan agar mempunyai kelengkapan persekolahan dan juga menaikkan semangat untuk belajar dalam kalangan anak-anak miskin ini.

“Sumbangan ini akan diagihkan ke seluruh pejabat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah.

“Terima kasih kepada Yayasan Salam yang telah memilih Kedah sebagai negeri tumpuan untuk menerima sumbangan tersebut,” katanya ketika ditemui krew Malaysiaaktif.

Mukhriz turut menjelaskan kerajaan sentiasa mengutamakan aspek pendidikan. Melalui Bajet 2019 yang dibentangkan kerajaan negeri baru-baru ini, kerajaan memperuntukkan sejumlah wang untuk meningkatkan penyampaian ilmu pengetahuan.

“Sebanyak RM2.5 juta disediakan untuk program yang menyumbang kepada peningkatan penyampaian ilmu pengetahuan termasuk mewujudkan Projek Perintis Kelas Pintar di sekolah terpilih sebagai kemudahan untuk mempelajari Dasar Nasional Industri 4.0,” tambahnya.

Majlis dihadiri seramai 300 orang yang terdiri daripada pelajar dan ibu bapa dari setiap daerah di negeri Kedah.

Turut hadir, Pengerusi Yayasan Salam Malaysia, Datuk Freezailah Che Yeom dan Pengarah Urusan Philips Morris (Malaysia) Kang Tae Koo.

-SH

Tinggalkan komen anda