Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Selangor Terbaik Beri Kebajikan Kepada Rakyat – Menteri Besar

By 2 Disember 2018Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 2 Dis (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri Selangor dilihat masih menjadi negeri terbaik dalam menjaga kebajikan kepada rakyatnya bermula seawal baru lahir hingga meninggal dunia.

Menurutnya, walaupun beberapa perubahan akan dilakukan terhadap dasar dan pelaksanaan program-program pada tahun hadapan, kerajaan negeri sentiasa melihat keperluan yang paling utama untuk rakyatnya.

“Cuma kita mengubah sedikit iaitu daripada pemberian dalam bentuk wang tunai kepada penyaluran dalam bentuk pemerkasaan seperti ilmu pengetahuan dan meningkatkan kemahiran kepada rakyat.

“Ia seperti daripada memberikan ikan, kini kita memberikan pancing pula kerana melaluinya ia mungkin dapat memberikan ikan yang lebih besar lagi. Ia mampu untuk membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program bantuan masuk sekolah sesi 2019 kepada anak-anak Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) di Sekolah Kebangsaan (2) Taman Selayang, Batu Caves, di sini hari ini.

Jelas Amirudin, program TAWAS akan disusun dan dirombak semula sejajar dengan pengumuman kerajaan negeri ketika membentangkan Belanjawan 2019 baru-baru ini.

Amirudin (tiga dari kiri) menyerahkan set peralatan sekolah kepada salah seorang ahli TAWAS yang menerima bantuan masuk sekolah di Batu Caves, hari ini.

Amirudin (tiga dari kiri) menyerahkan set peralatan sekolah kepada salah seorang ahli TAWAS yang menerima bantuan masuk sekolah di Batu Caves, hari ini.

“Mulai 2019 akan ada kaedah baru penyaluran bantuan, sebab pada tahun 2026 ada kelompok pertama akan menerima bantuan ini dan ianya sedang disiapkan. Tahun lepas dan tahun ini tabungan bernilai RM25 juta telah diberikan.

“Melalui kerjasama dengan kerajaan pusat, kita yakin tabungan ini boleh dikembangkan melalui kerjasama agensi-agensi pelaburan kewangan seperti Perbadanan Nasional Berhad (PNB) atau agensi kewangan lain,” katanya.

Persembahan daripada anak-anak TAWAS sempena penyampaian bantuan masuk sekolah di SK (2) Taman Selayang.

Persembahan daripada anak-anak TAWAS sempena penyampaian bantuan masuk sekolah di SK (2) Taman Selayang.

Program TAWAS bermula 2008 dibuka kepada anak-anak yang berusia di bawah tiga tahun, sekiranya layak mereka akan menerima tabungan bernilai RM1,500 apabila mencapai usia 18 tahun.

Bagi sesi persekolahan 2019, anak-anak TAWAS yang lahir pada tahun 2012 seramai 34,050 ahli akan menerima set barangan sekolah melalui pusat-pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh kawasan Selangor.

Sehingga 2018, seramai 334,063 ahli telah berdaftar yang diuruskan oleh Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

Sementara itu, Pengurus Besar YAWAS, Gan Pei Nei berkata, pihaknya menyokong langkah kerajaaan Selangor untuk melakukan pensejajaran semula dasar-dasar dan program-program rakyat pada tahun 2019 termasuk program TAWAS.

“Ia langkah yang baik kerana kerajaan persekutuan juga akan menjalankan skim-skim dan program khasnya untuk anak-anak kecil seperti Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50).

“Sekiranya ia dapat diselaraskan antara kerajaan negeri dan Persekutuan melalui YAWAS, kita akan dapat optimumkan sumber yang sedia ada supaya tidak berlaku pertindihan program dan penyelarasan akan dilakukan lebih teratur,” katanya.

Menurutnya, mengikut tempoh matang anak-anak TAWAS mencapai umur 18 tahun bagi kelompok pertama adalah pada tahun 2026, jumlah yang perlu diberikan kepada mereka berjumlah RM32 juta.

“Ia memerlukan komitmen yang tinggi daripada kerajaan Selangor dan ada beberapa cadangan agar pelaburan atau keperluan mencari jalan lain supaya dana ini dapat dikekalkan,” jelasnya.

 

-NAZ

Tinggalkan komen anda