Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Kedah Sedia Input Awal Pembangunan Bandar Pintar

By 29 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Fauziah Abd Wahab/Mohd Hairul Bakar (Kuala Muda)

SUNGAI PETANI, 29 Jan (Malaysiaaktif) – Dalam era perkembangan ke arah Revolusi 4.0, pertumbuhan dan pembangunan sesebuah bandar pasti tidak boleh lari daripada elemen pintar.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Kedah, Mohd Firdaus Ahmad, berkata pintar dinilai dari segi pentadbiran, ekonomi, prasarana, keselamatan dan masyarakat awam dengan memanfaatkan penguasaan dalam teknologi maklumat serta penggunaan teknologi digital.

“Sebagai nilai tambah, penggunaan aplikasi digital yang semakin meluas akan memudahkan penyaluran teknologi secara interaktif,” ucapnya ketika merasmikan Bengkel Penerapan dan Pelaksanaan Pembangunan Bandar Pintar Negeri Kedah, di sini semalam.

Tambah Firdaus lagi, menjadi hasrat kerajaan negeri untuk melihat kluster-kluster dalam Bandar Pintar seperti Bandar Hijau, Bandar Selamat, Bandar Pelancongan, Bandar Pentadbiran Digital dan Bandar Komuniti Digital wujud supaya Kedah tidak ketinggalan dalam mencorak landskap negeri ke arah persada yang lebih tinggi.

“Segala input-input daripada para peserta yang menjadi pemegang taruh kepada pembangunan negeri akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk diangkat menjadi sebuah dokumen Strategi Lautan Biru pelaksanaan Bandar Pintar negeri Kedah kelak,” tambahnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Kedah Berhad, Abdul Rahman Din berkata sebagai permulaan, pelan awal untuk memastikan perancangan tersebut direalisasikan, satu projek pembuktian konsep akan diadakan dengan memberi tumpuan kepada dua lokasi iaitu Pulau Langkawi dan Bandar Perindustrian Kulim Tech.

“Perancangan ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama yang erat daripada pihak Kulim Technogi Park Corporation (KTPC) melalui kedah Digital Transformation Center (KDTC) yang menjadi penyelaras utama bagi Projek Bandar Pintar ini,” ujarnya.

Permodalan Kedah Bhd. (PKB) bersama STT Technologies Sdn. Bhd. melalui syarikat usaha sama SPKB Hitech telah mengadakan Bengkel Penerapan dan Pelaksanaan Pembangunan Bandar Pintar pada 28 hingga 29 Januari bertempat di sebuah resort, di sini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif STT Technologies Sdn.Bhd. Suhaimi Ahmad.

-SH

Tinggalkan komen anda