Skip to main content
Berita TempatanHomePulau Pinang

KPKT Mahu Kastam Buat Pemeriksaan Teliti Kontena Bawa Sisa Plastik

By 7 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan

BUKIT MERTAJAM, 7 Jan (Malaysiaaktif) – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mahu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KJDM) membuat pemeriksaan lebih teliti bagi memastikan setiap kontena yang membawa sisa plastik yang dibawa masuk ke dalam negara mematuhi prosedur serta peraturan baharu berkaitan sisa plastik yang ditetapkan kementerian.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata KPKT akan memberikan taklimat dan meningkatkan aspek pengenalan bahan plastik kepada pihak JKDM bagi membolehkan mereka mengenal pasti sisa plastik yang diimport masuk.

“KPKT melaksanakan beberapa syarat dan peraturan baru berhubung import sisa plastik, jadi saya mahu pihak JKDM membuat pemeriksaan lebih teliti selepas ini bagi memastikan pengimport mematuhi syarat ditetapkan.

“Macam siasatan kami dalam kes penemuan 175 kontena penuh berisi dengan bahan buangan plastik yang tidak diisytihar dan tidak mendapat permit import (AP) KPKT tersangkut di Terminal Kontena, Pelabuhan Pulau Pinang pada November lepas, yang mendapati pengimport tidak bertanggungjawab membuat deklarasi palsu berhubung bahan yang dibawa masuk bagi mengelak ia ditahan pihak berkuasa, “katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke pusat pemporsesan sisa plastik di UDA Materials Sdn Bhd, di sini pada Ahad.

Katanya semua kontena yang masih belum dituntut itu kini terkandas di situ dan pihaknya mengambil tindakan penguatkuasaan,l di mana kontena itu akan dihantar kembali ke negara asal.

Sementara itu, Zuraida berkata pihaknya akan terus memberi pendedahan dan pendidikan bagi menggalakkan orang ramai untuk kitar semula dan membuat pengasingan sisa di rumah mereka sebelum dibuang.

“Ia sesuatu yang menguntungkan dan tidak timbul isu usaha dilakukan kerajaan ini merugikan, kerajaan akan sentiasa mengorak usaha dan menguatkuasannya,” katanya.

Mengulas mengenai lawatan itu, katanya ia dilakukannya bagi mendapatkan gambaran secara holistik mengenai industri pemprosesan sisa plastik yang diimport ke negara luar bagi tujuan industri lain.

“Hari ini saya juga sudah melawat beberapa kilang pemprosesan lain di Kedah dan Pulau Pinang bagi mendapatkan gambaran bagaimana bahan plastik ini diproses dan keadaan premisnya yang terdiri daripada tiga gred berdasarkan pendekatan yang digunakan mereka,” katanya.

Katanya ada premis yang memperoleh sisa plastik terpakai yang sudah lusuh dan kotor sehingga ia perlu melalui proses pembersihan yang rumit dan menjejaskan kawasan sekitar.

“Jika ia gred satu, premis berkenaan memperoleh bahan sisa plastik yang bersih dan kerja-kerja memprosesnya tidak rumit malah kawasan sekitarnya terkawal daripada segi kebersihan.

“Seperti premis kilang hari ini, mereka memperoleh sisa plastik yang bersih dari negara luar seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Australia sebelum diproses dan dihantar ke negara luar,” katanya.-BERNAMA

Tinggalkan komen anda