Skip to main content
HomeLabuan

Lebih 300 Premis Makanan Labuan Diperiksa Sejak 1 Januari 2019

By 7 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus / Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 7 Jan (Malaysiaaktif) – Lebih 300 premis makanan diperiksa Jabatan Kesihatan Labuan sejak 1 Januari 2019 dalam aktiviti Penguatkuasaan Secara Pendidikan bagi Pewartaan Tempat Makan Sebagai Kawasan Larangan Merokok.

Menurut Pengarahnya, Dr.Ismuni Bohari, daripada jumlah tersebut sebanyak 84 notis peringatan dikeluarkan kepada pemilik premis makanan yang tidak mempamerkan tanda larangan merokok.

“Dalam tempoh tersebut juga tiada sebarang notis dikeluarkan kepada orang awam atas kesalahan merokok di premis makanan.

Ismuni (tengah) memberi penerangan secara bersemuka dengan beberapa pelanggan di sebuah premis makanan yang diperiksa.

Ismuni (tengah) memberi penerangan secara bersemuka dengan beberapa pelanggan di sebuah premis makanan yang diperiksa.

“Sebanyak 500 lebih risalah juga telah diedarkan termasuk membuat perjumpaan bersemuka bersama lebih 5 ribu orang masyarakat di Labuan,” katanya.

Jelasnya, adalah menjadi tanggungjawab semua pemilik, pengusaha atau tuan punya premis termasuk trak makanan (food truck) agar memastikan tanda larangan merokok yang jelas diletakkan di tempat yang boleh dilihat dan mengambil langkah-langkah bagi memastikan tiada orang yang merokok dengan tidak menyediakan kemudahan untuk merokok seperti bekas abu rokok dan sebagainya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Operasi Bersepadu bersama Perbadanan Labuan yang baharu dijalankan malam semalam.

Mengulas mengenai Operasi Bersepadu itu, Ismuni berkata operasi disasarkan di empat lokasi tumpuan di Pusat Bandar Labuan.

“Operasi Bersepadu yang disertai lebih kurang 50 orang anggota Penguatkuasa Kesihatan mendapati kebanyakan premis makanan sudah menaikkan tanda larangan merokok termasuk beberapa premis yang mengambil inisiatif untuk membuat banner sendiri untuk memastikan pelaksanaan larangan merokok berjalan dengan baik.

Beberapa Pegawai Kesihatan memberikan penerangan semasa operasi kepada pengusaha-pengusaha premis makanan.

Beberapa Pegawai Kesihatan memberikan penerangan semasa operasi kepada pengusaha-pengusaha premis makanan.

“Kita juga terima respon positif daripada pelanggan-pelanggan yang berpuas hati dengan keadaan tanpa asap rokok semasa berada di premis makanan.

“Kita akan meneruskan menyebarkan maklumat mengenai pelaksanaan larangan merokok di premis makanan agar ianya boleh menjadi satu budaya walaupun ada rintangan memandangkan harga rokok yang murah di Labuan,” katanya lagi.

Jabatan Kesihatan juga katanya turut bersedia menerima dan menyiasat sebarang aduan berkaitan larangan merokok di premis makanan yang diterima daripada orang awam.

“Jabatan Kesihatan Labuan memohon kerjasama dan komitmen semua lapisan masyarakat di Wilayah ini agar memainkan peranan sewajarnya bagi memastikan peraturan ini dipatuhi.

“Kami juga sentiasa komited bagi memastikan orang awam sentiasa selesa dan dilindungi daripada bahaya asap rokok dan produk merokok yang lain ketika menjamu selera,” jelasnya.

EM

Tinggalkan komen anda