Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

PeKa B40 Sedia Empat Manfaat Untuk B40 Lebih 50 Tahun

By 28 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 28 Jan (Malaysiaaktif) – Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berusia 50 tahun dan ke atas bakal menikmati empat manfaat perkhidmatan kesihatan di bawah Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang akan mula dilaksanakan Mac ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata PeKa B40 yang dibiayai sepenuhnya kerajaan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM100 juta akan menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan, bantuan perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.

Katanya, bagi projek perintis, seramai 800,000 penerima bantuan akan menerima manfaat itu berdasarkan konsep sesiapa yang membuat saringan dahulu (first come, first serve).

“PeKa memberi penekanan kepada pengesanan penyakit awal tidak berjangkit kepada golongan B40 terutama apabila usia meningkat, sekali gus mengurangkan bebanan kos rawatan kumpulan berkenaan,” katanya ketika berucap pada majlis prapelancaran PeKa B40 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, saringan kesihatan yang dijalankan secara percuma termasuk pemeriksaan kesihatan mental, klinikal payudara dan klinikal prostat (jika perlu), manakala pemeriksaan makmal merangkumi ujian darah, diabetes, tahap kolestrol, air kencing dan fungsi buah pinggang.

“Melalui manfaat bantuan alat perubatan, penerima akan menerima bantuan dengan had maksimum RM20,000 (seumur hidup) terhad kepada kategori tertentu di hospital Kementerian Kesihatan.

“Bagi insentif melengkapkan rawatan kanser, sebanyak RM1,000 dibayar kepada pesakit yang melengkapkan rawatan di hospital kementerian dan bayaran secara berperingkat bergantung kepada tahap rawatan, manakala insentif tambang pengangkutan diberikan maksimum RM500 bagi Semenanjung dan RM1,000 bagi Sabah dan Sarawak bagi setiap penyakit,” katanya.

Beliau berkata, kementerian akan bekerjasama dengan klinik dan makmal swasta yang berminat dan mereka tidak akan dikenakan bayaran pendaftaran atau perkongsian fi.

Katanya, bagi proses mendapatkan saringan kesihatan percuma itu, penerima BSH berusia 50 tahun ke atas boleh menyemak kelayakan mereka di laman web PeKa B40 yang akan berfungsi sepenuhnya Mac ini, kemudian perlu ke klinik PeKa B40 berdekatan yang dikenal pasti melalui pelekat PeKa B40 dengan membawa MyKad.

“Pemeriksaan kesihatan akan dilakukan ketika lawatan pertama di klinik dan lawatan kedua adalah bagi keputusan makmal, seterusnya ke klinik kerajaan,” katanya.

Dzulkefly berkata, PeKa B40 diuruskan syarikat kerajaan iaitu ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (PHCorp), yang mempunyai agenda untuk meningkatkan akses rakyat terhadap perkhidmatan kesihatan berkualiti dan menyumbang kepada kelestarian sistem kesihatan.

Katanya, PeKa B40 dan Skim Perlindungan Nasional B40 atau mySalam yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Khamis lalu diwujudkan untuk saling melengkapi bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

mySalam, skim perlindungan perubatan dalam bentuk bantuan kewangan diwujudkan khusus untuk penerima BSH berusia 18 hingga 55 tahun, yang akan memberi manfaat bayaran kepada penerima jika disahkan menghidap satu daripada 36 penyakit kritikal serta pendapatan gantian harian ketika rawatan hospital. – BH online/foto: NST

Tinggalkan komen anda