Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Penduduk Dihantui Ketakutan,Tanah Runtuh Belakang Rumah

By 28 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang & Noriah Athan (Gombak)

RAWANG, 28 Jan (Malaysiaaktif) – Perasaan risau dan ketakutan menghantui penduduk apabila berlaku tanah runtuh di belakang rumah mereka di Blok 3/34 Bandar Tasik Puteri di sini.

Itu yang dialami hampir 150 keluarga tersebut sejak dua tahun lalu setiap kali berlaku runtuhan di tanah kosong terbiar milik kerajaan, yang pernah dijadikan aktiviti mencuri pasir beberapa tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Blok 3/34, Romli Bidin berkata, pencerobohan tanah di situ pernah disiarkan dalam media pada 2017, menyebabkan tanah itu yang dahulunya rata kini membentuk tebing setinggi lima meter dan jaraknya hanya empat meter dari rumah penduduk.

“Sekitar tahun 2010 hingga 2017 aktiviti mencuri tanah giat dijalankan di kawasan itu menyebabkan ianya botak membentuk kolam takungan air, kini dijadikan tempat mandi manda remaja pula,” katanya.

“Bila tiba musim hujan khasnya bulan Disember lalu menyebabkan kawasan itu berlaku gelongsoran yang mengugat keselamatan penduduk berhampiran.

Penduduk melihat kesan runtuhan tebing yang jaraknya hanya empat meter dari rumah.

Penduduk melihat kesan runtuhan tebing yang jaraknya hanya empat meter dari rumah.

“Kami pernah buat semakan status tindakan pihak berwajib dan tahap keselamatan tanah tersebut, namum tiada jawapan diberikan,” ujar Romli.

Beliau berkata demikian semasa sesi dialog bersama Ahli Majlis- Majlis Perbandaran Selayang (MPS), JC Jess Choy bersama pegawai-pegawai MPS.

“Hasil sesi dialog tadi mengesahkan tanah itu milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak. Kami akan buat surat rasmi kepada pihak terbabit untuk mengetahui tindakan yang akan diambil,” katanya.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Parklane Heights, Ahmad Shukri Kassim pula berkata, pihaknya berharap akan ada tindakan pihak berwajib susulan sesi dialog yang diadakan hari ini.

“Kami jadi risau dan takut dengan keselamatan keluarga sehingga kami gotong-royong bersihkan kawasan belakang rumah bagi memudahkan pemantauan.

“Kawasan terbiar itu dan rumah kami terlalu hampir, tanah runtuh pula semakin dekat dengan pencawang dan kolam takungan air merisaukan penduduk.

“Selain itu kami turut berisiko dengan aktiviti jenayah dan berharap segala aduan yang kami bangkitkan dalam sesi dialog tadi, hasilnya dapat dikongsi bersama kami,” katanya.

Sementara itu, JC Jess berkata, pihaknya akan membawa aduan penduduk itu dalam mesyuarat bulanan MPS untuk memastikan langkah keselamatan dan status tindakan yang diambil.

“Pagawai MPS yang hadir hari ini tidak boleh memberikan jaminan terhadap status tanah tersebut disebabkan perkara itu hanya boleh disahkan melalui kajian daripada agensi pakar.

“Status tanah pula bawah tanggungjawab PTD, maka saya akan memaklumkan isu ini untuk tindakan selanjutnya termasuk kajian struktur tanah,” katanya.

 

-NAZ

Tinggalkan komen anda