Skip to main content
Berita TempatanHomePahangPutrajaya

Pelan Pembangunan Menyeluruh Orang Asli Dirangka – Dr Wan Azizah

By 4 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan

CAMERON HIGHLANDS, 4 Jan (Malaysiaaktif) – Kerajaan Persekutuan bercadang mewujudkan pelan pembangunan masyarakat Orang Asli yang menyeluruh dalam memajukan masyarakat berkenaan, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata terdapat keperluan untuk mewujudkan pelan berkenaan bagi memajukan masyarakat Orang Asli secara lebih berkesan.

“Saya akan membawa perkara ini ke pengetahuan kementerian yang berkaitan iaitu Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Integrasi Nasional) untuk perbincangan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama masyarakat Orang Asli daerah Cameron Highlands di Dewan Kampung Orang Asli Sungai Ruil di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Datuk Ajis Sitin serta Pegawai Daerah Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis.

Dr Wan Azizah berkata, Kerajaan Persekutuan yang baharu sangat prihatin dan ingin menyertakan Orang Asli dalam arus pembangunan, baik pada peringkat negeri mahupun Persekutuan.

Beliau berkata, ia bagi memastikan masyarakat itu tidak terus terpinggir dalam arus pembangunan dan hanya dijadikan sebagai salah satu tarikan pelancongan semata-mata.

Katanya, perkara itu selaras dengan Konvensyen 107 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) Mengenai Orang Asli yang menggalakkan setiap kerajaan membabitkan Orang Asli di dalam projek pembangunan, selain menyediakan panduan mengenai perlindungan Orang Asli.

“Antara isu yang kerap dibangkitkan (dalam perkara berkaitan Orang Asli) ialah isu tanah adat.

“Masalah ini memberi cabaran kepada usaha kerajaan untuk membangun dan memajukan taraf sosio ekonomi Orang Asli kerana kehidupan masyarakat ini sangat berkait rapat dengan tanah dan ekologi persekitaran mereka,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, pembangunan, penerokaan, pencerobohan dan pengambilan tanah adat menimbulkan konflik dan menyebabkan Orang Asli kehilangan tempat tinggal serta kawasan pencarian hasil dan sumber hutan bagi menyara kehidupan.

Justeru, katanya salah satu penyelesaian yang boleh dicadangkan ialah supaya kerajaan negeri mewartakan tanah rizab Orang Asli.

Beliau berkata, melalui usaha kerajaan negeri itu membolehkan Orang Asli dapat terus mengekalkan tanah adat mereka untuk generasi akan datang.

“Pendekatan ini penting untuk kita sama-sama memahami perbezaan cara hidup dan pada masa yang sama, mencari titik persamaan untuk mengeratkan lagi kerjasama dan silaturahim bagi memajukan masyarakat Orang Asli dengan lebih berkesan,” katanya. – BH Online

Tinggalkan komen anda