Skip to main content
Home

RM4.89 Bilion Subsidi Bahan Api Dalam Tempoh 11 Bulan Pertama 2018

By 4 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 4 Jan (Malaysiaaktif) – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM4.89 bilion bagi subsidi petrol dan diesel untuk tempoh 11 bulan pertama tahun lalu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerajaan tidak mengambil keuntungan daripada harga runcit produk petroleum dan tidak mengenakan cukai jualan terhadap RON95 atau diesel.

“Tuduhan yang mengatakan kerajaan mengenakan cukai jualan adalah palsu dan tidak berasas.

“Sebenarnya, kerajaan memberi subsidi petrol dan diesel pada November, walaupun pada kos yang lebih rendah berbanding bulan-bulan terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Guan Eng berkata, rekod rasmi terkini menunjukkan pada November tahun lalu, kerajaan membelanjakan RM4.1 juta untuk subsidi petrol RON95 dan RM209.1 juta bagi subsidi diesel.

“Minyak diesel bukan saja digunakan oleh sektor komersial dan perindustrian tetapi turut digunakan oleh orang ramai di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Katanya, jumlah subsidi bagi Disember 2018 masih dalam proses pengumpulan.

Sementara itu, Guan Eng berkata, seperti dimaklumkan sebelum ini, kerajaan akan melaksanakan mekanisme pengapungan pada bulan ini di mana harga runcit akan turun secara mingguan jika harga Mekanisme Harga Automatik (APM) terus turun.

Menurutnya, kerajaan nekad untuk terus bersikap telus, di mana jika harga APM terus turun, kerajaan akan mengurangkan harga berkenaan supaya rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada harga minyak yang rendah.

“Jika harga APM meningkat, maka harga runcit akan distabilkan kepada kadar semasa iaitu RM2.20 seliter bagi RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel.

“Apabila kerajaan melancarkan program subsidi petrol bersasar sebelum akhir tahun ini, harga petrol dan diesel akan diapungkan sepenuhnya mengikut harga pasaran,” katanya. – BH Online / Foto: Bernama

Tinggalkan komen anda