Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

Penamatan Khidmat Imam Di Perlis Tidak Libatkan Kerajaan Pusat – Mujahid

By 4 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Malaysiaaktif) – Keputusan menamatkan perkhidmatan 25 imam masjid di Perlis dan menukar 10 lagi ke khariah lain pada Khamis tidak melibatkan kerajaan pusat kerana ia tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata buat masa ini kerajaan pusat tidak akan campur tangan dan menghormati keputusan yang diambil.

Pada Khamis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPS) dilaporkan telah menamatkan perkhidmatan 25 imam masjid berkuat kuasa 1 Jan.

Keputusan itu dibuat melalui mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPS) pada 6 Dis lalu dan dimaklumkan melalui surat bertarikh 31 Dis tahun lepas.

“Saya percaya dengan kebijaksanaan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail untuk menyelesaikan isu berkenaan memandangkan segala prosedur penyambungan kontrak jawatankuasa khariah masjid dan lantikan adalah di bawah kelulusan MAIPS,” kata Mujahid kepada Bernama News Channel selepas menjadi tetamu dalam rancangan ‘Ruang Bicara’ terbitan stesen itu malam tadi.

Sementara itu, mengulas mengenai artikel yang ditulis Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow yang menyarankan agar perokok tidak diberikan zakat, Mujahid berkata pemberian zakat tidak seharusnya dikaitkan dengan perokok, biarpun berdasarkan fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, rokok adalah haram kerana membawa kemudaratan.

Bagaimanapun, katanya, pengharaman tersebut tidak digazetkan dalam undang-undang di negara ini.

Justeru, katanya, untuk mengaitkan pemberian zakat kepada mana-mana lapan golongan yang layak, yang juga termasuk kalangan perokok, adalah tidak wajar sama sekali. – BERNAMA

Tinggalkan komen anda