Skip to main content
HomeSabah

PLC-Inovasi Jalin Kerjasama Pendidikan Labuan – Brunei

By 25 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/ foto : Md Khairul Azad Yunus

LABUAN, 25 Jan (Malaysiaaktif) – Program Jaringan Jalinan Perkongsian Amalan Inovasi Pembelajaran (PLC-Inovasi) menjadi platform bagi Wilayah Persekutuan (W.P) Labuan dan Brunei Darussalam menjalinkan kerjasama dalam bidang inovasi pendidikan.

Menurut Ketua Sektor Jaminan Kualiti, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), Khaziyati Osman, program bersama Institusi Pendidikan di Negara Brunei Darussalam yang diadakan pada 13 sehingga 15 Januari lalu itu merupakan julung kali diadakan di negara Brunei Darussalam.

“Pada program itu, sebanyak 11 buah stesen telah dibuka dan dikendalikan oleh guru-guru inovatif dari Labuan.

Khaziyati (duduk kanan) dan Pemangku Ketua Bahagian Pentadbiran Jabatan Sekolah Sekolah Kementerian Pendidikan Brunei , Pg. Ahmad Masudwardi Aidil Firtri Pg. Md. Daud menurunkan tandatangan sebagai saksi pada Majlis menandatangani dokumen Perjanjian Permuafakatan Strategik dalam bidang kajian dan inovasi.

Khaziyati (duduk kanan) dan Pemangku Ketua Bahagian Pentadbiran Jabatan Sekolah Sekolah Kementerian Pendidikan Brunei, Pg. Ahmad Masudwardi Aidil Firtri Pg. Md. Daud menurunkan tandatangan sebagai saksi pada Majlis menandatangani dokumen Perjanjian Permuafakatan Strategik dalam bidang kajian dan inovasi.

“Mereka berkongsi penciptaan inovasi yang berjaya meningkatkan tahap pencapaian dan penguasaan murid dalam mata pelajaran tertentu sekaligus meningkatkan kualiti Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) guru-guru.

“PLC-Inovasi ini diberikan kepada para pegawai Jabatan Sekolah-sekolah Brunei, barisan pensyarah universiti, guru besar dan guru sekolah rendah, bakal-bakal guru, pelajar-pelajar universiti dan murid sekolah rendah di setiap institusi pendidikan Brunei yang dilawati,” katanya.

Jelasnya, rombongan ini juga berjaya menandatangani dokumen perjanjian Permuafakatan Strategik dalam bidang kajian dan inovasi antara W.P Labuan dan Negara Brunei Darussalam.

“Melalui perjanjian ini, akan lebih banyak program Jaringan Jalinan Perkongsian Amalan Inovasi Pembelajaran yang bermatlamatkan untuk meningkatkan tahap pencapaian dan prestasi guru dan murid di WP Labuan dan Brunei akan diadakan.

Salah seorang guru JPWPL berkongsi hasil inovasi dengan murid-murid sekolah di Brunei Darussalam

Salah seorang guru JPWPL berkongsi hasil inovasi dengan murid-murid sekolah di Brunei Darussalam

“Semua guru inovatif yang terlibat menunjukkan komitmen yang tinggi dan melaluinya, tahap profesionalisme guru-guru inovatif ini telah dapat ditingkatkan,” katanya.

Program itu melibatkan empat institusi pendidikan di Brunei iaitu Sekolah Rendah Dato Basir, Sekolah Rendah Kampung Perpindahan Lambak Kanan Jalan 10, Fakulti Pendidikan Universiti Brunei Darussalam dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Pada akhir lawatan, peserta rombongan turut berkesempatan mengadakan kunjungan ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Brunei.

Rombongan JPWPL seramai 18 orang disertai dua orang Guru Besar dan seorang Pengetua daripada Transformasi Sekolah 25 (TS25), dua orang Pegawai Pembimbing Pakar Rakan Peningkatan Sekolah (SISC+), 10 orang guru inovatif dan seorang Penolong Pegawai Teknologi Maklumat.

EM

Tinggalkan komen anda