Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

RM8,000 Diberi Sekali Sahaja Kepada Penerima mySalam

By 24 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 24 Jan (Malaysiaaktif) – Penerima Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) akan mendapat bayaran sekali sahaja sebanyak RM8,000 jika dikenal pasti menghidap salah satu daripada 36 jenis penyakit kritikal, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata skim mySalam itu akan memberi bayaran harian sebanyak RM50 sebagai pendapatan gantian jika penerima menjalani rawatan di mana-mana hospital kerajaan untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun atau bersamaan dengan RM700 setahun.

Skim mySalam, yang dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, menyediakan perlindungan takaful kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang menerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR). Melaluinya, kerajaan membantu golongan B40 menangani kesulitan kewangan yang timbul akibat kemasukan ke wad hospital kerajaan atau ditimpa satu daripada 36 penyakit kritikal.

Skim itu melibatkan sumbangan permulaan sebanyak RM2 bilion daripada syarikat insurans dan takaful Great Eastern.

Lim pada majlis pelancaran skim mySalam itu berkata skim itu bermula pada 1 Januari lepas dan golongan B40 yang layak boleh membuat tuntutan mulai 1 Mac ini.

Selepas tarikh tersebut, Lim berkata semua penerima B40 yang layak di bawah skim itu akan dimaklumkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan perkhidmatan sokongan pelanggan juga akan mula beroperasi.

“Jika terdapat tuntutan, penerima boleh mengemukakan tuntutan tersebut melalui portal mySalam dalam talian atau di mana-mana pejabat Great Eastern di Malaysia dengan dokumentasi yang lengkap.

“Setelah tuntutan diluluskan, pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima,” katanya, sambil menambah butiran lanjut mengenai proses tuntutan akan diumumkan pada akhir bulan ini.

Beliau berkata seramai 3.69 juta individu golongan B40 berumur antara 18 hingga 55 tahun yang merupakan penerima Bantuan Sara Hidup layak menikmati skim tersebut.

Lim berkata kerajaan akan menggunakan sumbangan RM2 billion untuk membayar kadar premium insurans perlindungan sosial sebanyak RM112 untuk setiap individu di bawah skim itu.

“Kadar premium ini ditetapkan pada kadar kos dan tanpa keuntungan untuk syarikat insurans,” katanya.

Mengenai caruman RM2 billion sebagai dana permulaan skim mySalam, Lim berkata ia merupakan sumbangan tunai oleh pemegang saham insurans asing sebagai alternatif kepada syarat pelupusan lebihan pegangan saham sebanyak 30 peratus, kepada tahap pegangan tidak melebihi 70 peratus yang ditetapkan kerajaan.

“Pilihan untuk menyumbang ini adalah selaras dengan objektif kerajaan untuk memberikan tumpuan khusus dan secara langsung kepada golongan B40, agar memanfaatkan jutaan orang dan bukan hanya segelintir kecil sahaja,” katanya. – BERNAMA

Tinggalkan komen anda