Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Penantian Lebih 30 Tahun Berakhir, 46 Terima Notis 5A

By 24 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

KUANG, 24 Jan (Malaysiaaktif) – Terpancar kegembiraan pada wajah 46 penerima pemilikan tanah di Kampung Sungai Serai, Kuang apabila kerajaan negeri ‘menghadiahkan’ Notis 5A kepada mereka setelah menunggu saat tersebut lebih 30 tahun.

Lebih bermakna, surat pemberi milikan berkenaan disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Amirudin Shari, di Dataran Setia, Kuang di sini hari ini.

Seorang penerima, Kamariah Kimin, 82, melahirkan rasa syukur kerana kerajaan Selangor akhirnya menunaikan janji untuk memberi pemilikan kepada pemohon yang berhak.

“Saya merupakan generasi pertama, dah tinggal kat situ hampir 60 tahun atas status lesen menduduki sementara (TOL) dan mengisi borang permohonan pada tahun 2006.

Amirudin (dua dari kiri) menyampaikan Notis 5A kepada Kamariah dan Hamidah.

Amirudin (dua dari kiri) menyampaikan Notis 5A kepada Kamariah dan Hamidah.

“Syukur kerana kerajaan sekarang telah menunaikan janji mereka. Saya sangat gembira,” kata ibu kepada 10 anak, lebih 50 cucu dan enam cicit.

Perasaan tersebut turut dikongsi anak Kamariah, Hamidah Musa, 54, yang gembira dan yakin dengan kemampuan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Selangor menyelesaikan masalah rakyat.

“Saya sangat gembira menerima Notis 5A ini. Memang dulu timbul perasaan gusar kerana takut tanah yang telah diduduki ini akan terlepas kepada orang lain.

“Alhamdulillah, akhirnya kerajaan PH mampu menyelesaikannya dan ia mengembirakan kami penduduk Kampung Sungai Serai,” katanya.

(Dari kiri) Kamariah dan Hamidah gembira menerima Notis 5A Kampung Sungai Serai, hari ini.

(Dari kiri) Kamariah dan Hamidah gembira menerima Notis 5A Kampung Sungai Serai, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, penyerahan borang pemilikan itu merupakan antara penyelesaian pemilikan tanah yang merupakan isu berlarutan lebih 30 tahun kepada penduduk.

“Hasil kerja bancian yang dibuat secara berperingkat, akhirnya ia dapat diselesaikan secara berperingkat. Kawasan Gombak ini merupakan kawasan kritikal sebelum ini.

“Kita selesaikan secara berperingkat sebab ia melibatkan waris, pemilikan kelompok, senarai yang panjang dan ia perlu semakan secara terperinci dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Menurut Amirudin, bayaran yang perlu dibayar sebanyak RM1,000 sahaja disamping perlu membayar caruman parit dan infrastrukur dalam jumlah yang rendah.

“Ini merupakan dasar kerajaan Selangor dan banyak membantu dan penerima diberi masa enam bulan untuk menjelaskannya.

Jelas beliau, ketika mengambil alih pentadbiran Selangor pada 2008 banyak isu pemilikan tanah di yang tertunggak sejak zaman pentadbiran dahulu.

“Ianya perlu di selesaikan secara berperingkat. Paling penting keadilan dapat diterjemahkan melalui pengagihan ini, mereka yang layak sahaja dapat pemilikan ini.

“Sekarang, kerajaan Selangor juga membenarkan pemilikan tanah kosong tetapi kos yang perlu dibayar mengikut harga pasaran semasa,” katanya.

 

-NAZ

Tinggalkan komen anda