Skip to main content
Berita TempatanHomePulau Pinang

Agensi Kerajaan Turun Padang Santuni Penduduk

By 27 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Halimah Abdul Ghani ( Seberang Perai Tengah)

BUKIT MERTAJAM, 27 Feb (Malaysiaaktif)  – Mendekati masyarakat dengan menganjurkan hari komuniti ataupun hari terbuka adalah satu usaha berkesan yang dibuat oleh Pejabat Pos Kubang Semang dan ianya wajar disokong serta dipuji dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Hari Komuniti Penduduk Tempatan Bersama Pos Malaysia ini mendapat  penyertaan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta syarikat insurans iaitu Etiqa Takaful, Kurnia Insurans dan Gibraltar BSN.

Pos Malaysia juga turut membuka kaunter bergerak di luar premis selain perkhidmatan di kaunter dalam Pejabat Pos Kubang Semang

Program yang bermula pada jam 9.30 pagi dan berakhir kira-kira jam 2.00 petang itu memberi manfaat kepada lebih 200 penduduk setempat. Rata-rata mereka hadir bagi membuat pemeriksaan LKM yang tamat tempoh melebihi satu tahun terutamanya motosikal. Menurut Encik Ahmad Zaiful, pegawai JPJ Seberang Jaya, program pada hari ini adalah merupakan siri pertama yang diadakan di Daerah Seberang Perai Tengah manakala beberapa daerah lain di Pulau Pinang telahpun melaksanakannya sebelum ini.

Pegawai JPJ Seberang Jaya sedang membuat pemeriksaan motosikal untuk memperbaharui cukai jalan yamg telah tamat tempoh lebih setahun

Pemeriksaan kenderaan secara percuma oleh pihak JPJ Seberang Jaya itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Menurut seorang pengunjung yang ditemubual, Puan Norsyafikah binti Ali, yang berasal dari Kg. Pelet, beliau berharap agar usaha sebegini terus dilaksanakan kerana ianya sangat memberi manfaat dan memudahkan rakyat. “Program sebegini wajar diteruskan kerana ianya memudahkan penduduk setempat untuk memperbaharui cukai kenderaan tanpa perlu berkunjung ke Puspakom”, ujar beliau yang hadir untuk membuat pemeriksaan serta pembaharuan cukai jalan motosikalnya yang telah tamat tempoh lebih kurang 10 tahun.

Program ini telah berlangsung dengan lancar walaupun keadaan cuaca yang agak panas, itu tidak menjadi halangan kepada pengunjung untuk terus sabar menunggu giliran bagi membuat pemeriksaan kenderaan masing-masing.

Tinggalkan komen anda