Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

PAWE Bela Warga Emas, Kanak-Kanak dan OKU

By 27 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / foto : Azmi Abd. Rahman / Mohd Sukri Ismail (Machang)

MACHANG, 27 Feb (Malaysiaaktif)- Program Hari Terbuka Intergenerasi Pertubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Bestari Machang telah berlangsung di perkarangan Pertubuhan PAWE Bestari Machang pagi tadi. Seramai 200 orang menyertai program ini termasuk golongan warga emas, kanak-kanak serta golongan OKU.

Pengerusi PAWE Bestari Machang, Abdul Rahman Idris berkata, penyatuan tiga generasi ini merupakan satu kombinasi yang baik bagi memupuk sikap saling menyokong antara satu sama lain dalam membentuk satu kecaknaan. Golongan warga emas dan OKU sememangnya perlukan sokongan serta perhatian khusus daripada seluruh masyarakat.

“Pelbagai acara yang bermanfaat bagi warga emas, kanak-kanak dan OKU diselitkan dalam program ini, antaranya taklimat dan ceramah kesihatan, pertandingan gubahan, pertandingan mewarna dan pertandingan sukaneka.” ujarnya kepada Malaysiaaktif.

Pemeriksaan kesihatan percuma sempena program Hari Terbuka PAWE Bestari Machang

Pemeriksaan kesihatan percuma sempena program Hari Terbuka PAWE Bestari Machang

Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan, Said Sidup menjelaskan, tujuan utama penubuhan PAWE adalah untuk menjalinkan hubungan akrab di antara warga emas yang terlibat.

“Di samping itu, aspek kesihatan warga emas dan kemampuan kendiri mereka turut diberi penekanan,” katanya ketika ditemui.

Siti Rokiah Said, 68, berasa gembira dapat menyertai program ini, dapat beramah mesra bersama rakan taulan.

“Selain itu, maklumat serta panduan tentang penjagaan kesihatan bagi golongan warga emas seperti kami adalah sesuatu yang amat baik,” ujarnya.

Program seumpama ini sememangnya mampu memberi impak yang amat baik bagi menjamin kesejahteraan golongan warga emas, kanak-kanak dan OKU. Seluruh masyarakat hendaklah memberi kerjasama padu dalam menjayakan hasrat kerajaan membela nasib ketiga-tiga golongan ini.

-NAZ

 

Tinggalkan komen anda