Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

PRK Semenyih: 35 Laporan Polis, 11 Kertas Siasatan Dibuka

By 28 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Selangor)

SEMENYIH, 28 Feb (Malaysiaaktif) – Sebanyak 35 laporan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih diterima polis sejak hari penamaan calon pada 16 Februari lalu sehingga hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 11 kertas siasatan dibuka.

“Kertas siasatan itu berkaitan Seksyen 147/323 KK, Sekyen 353 KK, Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954, Seksyen 500 KK, Sekyen 427 KK, Seksyen 505 KK, Seksyen 4A AKPR 1954 dan Seksyen 9 AKPR 1954,” katanya.

Beliau turut mengesahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima dua laporan polis yang terbaru, semalam.

“Satu laporan berkaitan provokasi dalam kain rentang parti yang disiasat dibawah Seksyen 4(A) AKPR 1954, kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan.

“Satu lagi berkaitan isu pengadu merasakan diri dan keluarga terancam kerana didakwa ada unsur paksaan mengundi yang disiasat dibawah Seksyen 9 AKPR 1954. Kedua-dua kes masih dalam siasatan.

Dalam perkembangan lain, Sabri memaklumkan Wan Nazri Wan Deris atau Papagomo telah didakwa di Mahkamah Majistret Kajang hari ini, dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 509 KK.

“Pertuduhan dibaca Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria dihadapan Majistret Fadziatul Isma Ahmad Refngah.

“Beliau mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin sebanyakRM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin. Kes akan disebut semula pada 1 April nanti,” katanya.

Tambah Sabri, seramai dua pegawai dan 60 anggota polis trafik sedang menjalankan latihan (dry run) bermula semalam bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan mengiring peti undi pada hari pengundian.

“Pihak polis menegaskan agar parti-parti yang terlibat mematuhi peraturan dan membuat permohonan permit bagi tujuan berkempen.

“Parti-parti bertanding juga dinasihatkan memantau dan memastikan penyokong mereka mengawal tingkah laku agar proses berkempen berjalan lancar,” tegas beliau.

-NAZ

Tinggalkan komen anda