Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Sesejuk Cameron Highland

By 28 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto : Mohd Zulfadli Ab Hamid / Suhaimi Nik Wil ( Kuala Krai )

KUALA KRAI, 28 Feb (Malaysiaaktif) – Sejuknya seperti berada di Cameron Highlands. Itulah ayat yang sering disebut oleh masyarakat di Kuala Krai ketika ini. Kuala Krai antara daerah di Kelantan yang sedang menghadapi fenomena sejuk luar biasa terutama waktu pagi dan malam.

Fenomena ini bukan perkara baru bagi daerah Kuala Krai, situasi ini berlaku setiap tahun bermula tahun 2015 selepas musibah banjir besar pada Disember 2014.

Fenomena luar biasa ini bermula pertengahan Januari apabila beberapa kawasan mencatatkan suhu sejuk luar biasa antara 17 ke 20 darjah Celsius terutama pada waktu tengah malam sehingga awal pagi. Pada Pagi ini suhu telah mencecah 18 darjah Celsius sehingga jam 10. 00 pagi dan kabus tebal masih menyelubungi.

Jam 9.30 pagi masih berkabus

keadaan masih berkabus pada pukul 9.30 pagi

Seorang penjawat awam, Rusli Mohemed, 59, dari Taman Desa Melati berkata, “Menggigil pada waktu pagi kerana terlalu sejuk , sehingga terpaksa pakai jaket tebal dan nak sentuh air pun takut, terutama ketika hendak mengambil wuduk untuk solat Subuh. Air terlalu sejuk seolah-olah terasa seperti menyentuh ais.”

Tambahnya, ada yang mengatakan bahawa fenomena suhu sejuk itu berpunca dari udara sejuk Tanah Besar China yang bergerak ke Laut China Selatan, keadaan ini biasa terjadi ketika Monsun Timur Laut.

Penjawat awam, Sany Hassan, 36, berulang-alik dari Machang ke Kuala Krai, ” Saya selalu menyalakan lampu kereta setiap kali memandu pada waktu pagi kerana kabus yang tebal dan bimbang akan keselamatan diri. Semua pemandu lain pun  akan menyalakan lampu kenderaan masing-masing bagi mengelak perkara yang tidak diingini “.

Menurut seorang peniaga, Sazali Maarof, 52, berkata, “Saya menghadapi cabaran untuk mengejutkan anak-anak ke sekolah kerana cuaca amat sejuk pada waktu pagi.  Mereka juga sukar bangun mandi untuk ke sekolah sehingga Isteri terpaksa menyediakan air suam untuk mereka mandi.”

Kuala Krai pernah mencatat suhu paling rendah iaitu 15.7 darjah Celsius pada tahun 2014. Tinjauan mendapati orang ramai terutama kanak-kanak terpaksa berpakaian tebal pada waktu pagi dan malam walaupun berada di rumah.

– NAZ

Tinggalkan komen anda