Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Remaja Digalak Buat Saringan Talasemia

By 15 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/Foto: Asmidar Zainol/Volintine Jiloh(Kota Kinabalu)

 

KOTA KINABALU, 15 Feb (Malaysiaaktif) – Orang ramai terutama remaja 16 tahun ke atas digalak untuk membuat saringan ujian talasemia.

Yang Dipertua Persatuan Isteri Wakil-wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (PERWISA), Datin Seri Shuryani Shuaib berkata, galakan tersebut antara usaha bagi mengurangkan bilangan pesakit berkenaan di negara ini khususnya di Sabah.

“Saringan kesihatan bagi mengetahui status penghidap atau pembawa talasemia adalah mustahak kerana akan menentukan zuriat pada masa akan datang supaya tidak diwarisi dengan penyakit ini.

Antara yang hadir pada sambutan tersebut

Antara yang hadir pada sambutan tersebut

“Melalui program hari ini, kita berharap akan dapat memberi kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat tentang penyakit Talasemia yang merupakan penyakit genetik atau turun temurun.

“Selain itu, adalah untuk memberi semangat dan sokongan kepada mereka supaya dapat meneruskan hidup seperti orang biasa.

“Sokongan bukan sahaja kepada pesakit-pesakit ini tetapi juga kepada ibu bapa atau penjaga agar tidak putus asa menjaga pesakit talasemia,” katanya kepada media selepas Sambutan Hari Krismas 2018 dan Tahun Baru Cina 2019 PERWISA di sini, pada Rabu.

Francis (kiri) memveri penerangan berkenaan penyakit tersebut kepada Shuryani (kanan)

Francis (kiri) memberi penerangan berkenaan penyakit tersebut kepada Shuryani (kanan)

Sementara itu, Presiden Talasemia Malaysia Sabah, Francis Mujim, berkata Sabah merupakan negeri tertinggi yang mempunyai pesakit talasemia.

“Talasemia merupakan penyakit yang diwarisi apabila mangsa akan mengalami kekurangan darah dan memerlukan transfusi darah sebulan sekali atau dua kali sepanjang hayat.

“Sejak kita mengadakan program-program kesedaran dan jangkauan, ramai yang telah tampil untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan di hospital-hospital dan berdaftar dengan persatuan iaitu lebih 1,800 orang.

“Antara daerah yang mempunyai pesakit talasemia terbanyak adalah di Kota Marudu, Pitas dan Kudat.

“Kita jangkakan lebih ramai yang akan tampil kerana telah ada pemahaman mereka mengenai penyakit ini,” katanya.

Turut hadir isteri Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah, Datin Seri Dr Jaina Sintian; Presiden Persatuan Penderma Darah Sabah (Pendarah), Alix Sunggin dan Presiden Persatuan Kebajikan Melati Sabah, Linda Dunstan serta 100 pesakit Talasemia dan keluarga.

EM

Tinggalkan komen anda