Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Hasilkan Penyampaian Perkhidmatan Awam Yang Efisien – Mukhriz

By 15 Februari 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan/foto: Rose Rasidi/Bashsyar Abdullah (Alor Setar)

ALOR SETAR, 15 Feb (Malaysiaaktif) – Selaras dengan pembentukan kerajaan yang baharu, banyak dasar-dasar dan hala tuju pentadbiran telah diperkemaskan untuk meletakkan semula negara di landasan yang betul dan terbaik untuk semua, lantas kerajaan memerlukan kerjasama padu daripada penjawat awam dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk disampaikan kepada rakyat.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata penjawat awam merupakan pemegang amanah dan jentera pentadbiran kerajaan, maka seharusnya penjawat awam berpegang kepada prinsip taat setia terhadap kerajaan yang memerintah.

“Keutamaan dan fokus kita sebagai pihak yang menjayakan agenda kerajaan adalah memastikan setiap projek, program dan perkhidmatan dilaksanakan dengan efisien supaya dapat memenuhi janji-janji kerajaan kepada rakyat.”

“Rakyat sedar akan hak mereka untuk menuntut perkhidmatan yang cepat dan berkualiti tanpa kerenah birokrasi, maka pegawai kerajaan perlulah berusaha mencari inisiatif untuk memenuhi hasrat tersebut,” jelasnya ketika menyampaikan ucapan sempena Perhimpunan Penjawat Awam Persekutuan Negeri Kedah di Kompleks Persekutuan Anak Bukit, di sini semalam.

Fokus dalam menghayati tanggungjawab dan amanah sebagai penjawat awam adalah satu keperluan - Mukhriz.

Fokus dalam menghayati tanggungjawab dan amanah sebagai penjawat awam adalah satu keperluan – Mukhriz.

Mukhriz turut menekankan nilai-nilai integriti yang perlu ada pada seseorang penjawat awam. Kepentingan dan keikhlasan bekerja demi agama, bangsa dan negara perlu diterapkan supaya perkhidmatan awam sentiasa relevan dan boleh dipercayai.

Menyentuh mengenai penyelewengan, pecah amanah serta amalan rasuah dalam perkhidmatan awam, Mukhriz berkata penjawat awam harus menjauhi amalan tidak beretika ini. Malah perlu melaporkan kegiatan ini kepada pihak berwajib supaya kegiatan ini dapat dielakkan dan bukannya dibudayakan.

“Sebagai penjawat awam, kita seharusnya menyahut seruan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini bahawa penjawat awam perlulah memberikan taat setia kepada kerajaan, sekiranya terdapat penyelewengan, maka yang lebih utama adalah negara, bukan orang, parti atau ideologi tertentu,” ujarnya lagi.

Program dimaknakan dengan lafaz ikrar penjawat awam yang disaksikan Menteri Besar bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Datuk Shaikh Mahmood Naim dan Pegawai Kemajuan Negeri Kedah, Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian.

-SH

Tinggalkan komen anda