
Laporan/foto: Zurina Saad/Othman Arif (Yan)
YAN, 21 Feb (Malaysiaaktif) – Sukan luncur udara atau paragliding merupakan sukan yang mampu menguji adrenalin serta mengatasi rasa takut terhadap tempat tinggi. Kini, penggemar-penggemar aktiviti sukan ekstrem ini boleh merasai pengalaman terbang di udara ini di Gunung Jerai.
Merasai sendiri pengalaman terbang di udara dengan ketinggian 2200 kaki dari aras laut sambil menikmati keindahan alam semulajadi amat mengujakan dan tidak dapat dilupakan oleh Siti Munirah Ghazali, 32, dari Keramat, Kuala Lumpur.

Pengunjung dari negara luar turut memilih Gunung Jerai sebagai lokasi untuk melakukan aktiviti paragliding ini.
“Berperang dengan rasa takut kepada ketinggian atau acrophobia yang selama ini amat digeruni membuatkan saya mencabar diri untuk terjun dan terbang dari tempat tinggi.
“Pengalaman menyaksikan sawah padi yang terbentang luas ditambah pula dengan permandangan indah Pulau Song Song, Pulau Bidan, Pulau Telur, dan Pulau Bunting merupakan suatu pengalaman yang tidak dapat di lupakan,” ujarnya ketika mencuba aksi ini secara tandem, di sini baru-baru ini.
Menurut Timbalan Presiden Kelab Luncur Udara Jerai, Syed Mohd Fakhrin Syes Shabtar, aktiviti ekstrem ini turut mendapat sambutan daripada warga asing seperti Perancis, Switzerland dan Morocco yang ingin merasai sendiri pengalaman terbang di udara.
“Selain mencabar mereka juga dapat menikmati panorama indah daerah Yan dan seterusnya mendarat di Kampung Titi Teras,” ujarnya yang juga salah seorang jurulatih bertauliah sukan luncur udara.
Ujarnya lagi, aspek keselamatan peserta amat dititikberatkan dan setiap peserta akan terlebih dahulu diberikan taklimat keselamatan sebelum memulakan peluncuran dan akan ditemani oleh seorang juruterbang yang terdiri daripada kalangan jurulatih bertauliah.