
Laporan/ foto: Daniel Jong/ Shaharudin Suratman (Seremban)
SEREMBAN, 27 Mac (Malaysiaaktif) – Program ziarah kasih di sekitar daerah Seremban sedikit sebanyak membantu meringankan beban penduduk setempat.
Program ini dijalankan secara berkala dengan kerjasama beberapa pihak termasuklah dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).
“Melalui program ini, kita menyedari bahawa terdapat ramai warga emas serta penduduk yang perlu menerima bantuan daripada agensi kerajaan, namun, mereka tidak tahu platform untuk memohonnya,” kata pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sembilan (JAPEN), Sabarudin Yeop Hamza di inap desa Haji Sulaiman, Kuala Sawah, Rantau selepas selesai program tersebut petang semalam.
Menurutnya lagi, JAPEN negeri dengan kerjasama pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) mendapatkan nama penduduk yang kurang berkemampuan agar mereka mendapat perhatian dan bantuan dari agensi kerajaan yang berkenaan.
Tambahnya lagi, pendekatan yang diambil pihaknya lebih bersifat terbuka selain melibatkan seluruh masyarakat setempat tanpa mengira agama, bangsa ataupun fahaman politik.
Beberapa penerima berkata, program sedemikian menunjukkan keperihatinan kerajaan terhadap rakyat. Program ini sekaligus dapat membantu rakyat melalui agensi dan jabatan yang berkaitan.
Turut serta dalam program ini adalah wakil ibu pejabat JAPEN, Richard Chai dan Pemangku Pegawai Penerangan Daerah Seremban, Muhamad Ramadan Ab. Rahim.