Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Pesara Tentera Bergelar Perancang Perkahwinan

By 27 Mac 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto: Nur Shafira Mat Hussin /Mohd Huswazi Mat Shahih (Pasir Puteh)

PASIR PUTEH, 27 Mac (Malaysiaaktif) – Suatu ketika dahulu beliau berada di perbarisan hadapan pertahanan negara, kini kerjaya tersebut telah berubah sepenuhnya kepada perancang perkahwinan dan pelbagai acara.

Pesara Angkatan Tentera Darat (ATD), Mohd Huswazi Mat Shahih, 48, telah bersara sejak empat tahun lalu tidak menyangka beliau akan berkecimpung secara serius dalam bidang pengurusan acara dan perkahwinan .

Di samping minat terhadap bidang ini, beliau juga mendapat sokongan daripada isteri tersayang, Noor Asiah Harun ,46, juga seorang pesara tentera,.

” Saya dan isteri mempunyai minat dan kecenderungan yang sama, saya minat menguruskan acara dan perkahwinan, tambahan pula isteri memang berbakat dalam bidang kecantikan. Maka terhasillah ‘D’Jemari Hamimi‘ dan ‘Hamimi Canopy’ kebanggaan kami bersama.”

Bercerita mengenai asas permulaan kerjayanya selepas bersara, “Bermula sejak di tahun akhir perkhidmatan, di mana saya memilih untuk mengambil kursus dalam bidang pengurusan, penginapan dan penyajian sebagai bekalan ilmu setelah bersara,”

“Saya anak jati Kampung Jelor, Pasir Puteh, sentiasa berpegang kepada prinsip untuk terus berbakti kepada negara walaupun sudah tidak berada di perbarisan hadapan negara lagi.” katanya.

“Saya cuba untuk terus berbakti kepada negara dengan cara sendiri seperti mengupah pemuda pemudi di kampung agar mereka dapat meraih pendapatan serta pengalaman sendiri.” Tambahnya.

Katanya lagi, beliau sanggup melaburkan wang simpanan pencen beliau sebanyak RM100, 000 sebagai modal permulaan untuk melebarkan sayap di dalam bidang pengurusan acara dan perkahwinan ini.

Ternyata pelaburan ini adalah tepat, beliau kini mempunyai aset pengurusan majlis seperti khemah jenis ‘pyramid’, ‘halfmoon’ dan ‘arabian’ sebanyak 40 buah.

Lumrah perniagaan pasti ada pasang surutnya, beliau akui terdapat persaingan sengit kerana kini terdapat banyak pilihan perunding acara dan perkahwinan.

Selain dari itu, bagi pengurusan acara atau perkahwinan di Kelantan yang lebih tertumpu pada musim cuti perayaan atau semasa cuti sekolah menjadikan pendapatan tidak sekata sepanjang tahun.

” Secara purata saya mampu mencapai RM4000 hingga RM5000 sebulan namun tidak tetap, pada musim perayaan dan cuti sekolah yang pasti tak menang tangan di buatnya.” Ujar beliau lagi.

Beliau telah berdaftar sebagai usahawan di bawah bimbingan empower ECER Cawangan Pasir Puteh dan kerap mengikuti kursus-kursus singkat secara percuma yang diadakan.

“Ini bertujuan untuk memberi inspirasi kepada lebih ramai kawan-kawan usahawan supaya tampil berani dan tidak berputus asa dalam bidang perniagaan yang diceburi.” Jelasnya.

Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC) menerusi Program Empower Ecer bermatlamat untuk merapatkan jurang ekonomi masyarakat luar bandar dengan masyarakat bandar melalui peningkatan prestasi akademik dan kemahiran perserta.

Program Empower ECER terbuka kepada semua tanpa mengira bangsa, jantina dan usia yang merangkumi dua jenis program iaitu Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan yang mensasarkan golongan belia berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik.

Program Latihan Akademik ini juga lebih mensasarkan perserta berprestasi akademik lemah dan sederhana dari keluarga berpendapatan rendah di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Di akhir perbualan, beliau memberitahu pengalaman sebagai seorang tentera banyak mengajarnya tentang disiplin dan jati diri, ia penting untuk diterjemahkan dalam bidang peniagaan supaya perniagaan dijalankan secara jujur, berintergriti dan mencapai kejayaan.

– NAZ

Tinggalkan komen anda