Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Bunga Chica; Rezeki Musim Kemarau

By 13 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Fasharina Kholil/Rasidi Che Sa (Sik)

SIK, 13 Mac (Malaysiaaktif) – Musim kemarau pastinya dinanti-nantikan oleh sebahagian penduduk di sekitar Belantik kerana pada musim ini pokok chica akan mengeluarkan bunga chica.

Pokok bunga chica tinggi dan besar dan hanya berbunga setahun sekali iaitu sekitar pertengahan bulan Februari hingga Mac. Bunga chica berwarna merah jambu dan apabila kering ia bertukar warna coklat.

Bunga Chica yang telah luruh

Bunga Chica yang telah luruh

Dulmataksiah Hassan atau lebih mesra disapa Kak Ma, salah seorang penduduk Kampung Surau, di sini sering menanti ketibaan musim bunga chica. Sudah menjadi kelaziman bagi dirinya serta penduduk di sekitar kawasan ini untuk mengutip bunga chica apabila tiba musim kemarau.

“Lazimnya kami akan mengutip bunga pada waktu pagi kerana bunga ini gugur pada awal pagi. Bunga yang telah dikutip akan diproses untuk dijadikan lepat chica. Lepat chica merupakan makanan unik kerana ia hanya boleh didapati di kawasan tertentu sahaja di negeri ini. Selain daripada itu ia dihasilkan daripada bunga menjadikan ianya unik dan istimewa.

“Bunga yang telah dikutip akan direndam dan dibersihkan terlebih dulu. Kemudian bunga tersebut akan dikisar bersama-sama santan dan juga gula. Seterusnya, bahan-bahan tersebut akan dicampurkan dengan tepung pulut, tepung gandum serta secubit garam. Selesai semua proses tadi, bungkus serta kukus lepat tersebut sehingga masak,” jelas Kak Ma.

Lepat yang telah dimasak sesuai dijadikan menu minum petang.

Lepat yang telah dimasak sesuai dijadikan menu minum petang.

Menurut Kak Ma, bunga-bunga ini juga boleh disimpan dalam tempoh yang lama tetapi perlu dijemur sehingga kering bagi mengelakkan daripada rosak.

“Rasanya lain daripada biasa, belum makan pun kita boleh bau wangi lepat yang dibuat daripada bunga chica ini. Selalunya lepat tidak ada inti, tapi lepat bunga chica ni ada inti, itu yang membuatkan lepat ini lain daripada yang lain,” tambahnya.

Ujar Kak Ma lagi, aktiviti mengutip bunga chica ini menyeronokkan dan ia juga sebagai salah satu aktiviti riadah yang dapat menyihatkan tubuh badan.

“Mungkin kerana keunikannya, ia mendapat sambutan dan permintaan yang tinggi. Ada di antara kenalan Kak Ma yang berjaya meraih pendapatan sehingga RM1000 dengan menjual lepat ini,” jelas Kak Ma lagi.

-SH
Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda