
Laporan/ foto: Suzilawati Kamarudin/ Muhammad Ramadan (Seremban)
SEREMBAN, 13 Mac (Malaysiaaktif) – Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan adalah program tahunan peringkat kebangsaan yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Tahun ini Kerajaan Negeri Sembilan dan beberapa jabatan serta agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri akan bekerjasama bagi menjayakan majlis ini sebagai gambaran komitmen pihak kerajaan dalam menerapkan budaya minat membaca terhadap Al-Quran dan memahami intipatinya serta mengaplikasikan tuntutan dan larangan Yang Maha Esa dalam amalan seharian.
Memetik siaran media Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam Majlis Pra Pelancaran Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2019M pada hari ini, majlis ini dijadualkan berlangsung selama enam hari bermula dari 17 Mac hingga 22 Mac 2019 bertempat di Dewan Majlis Perbandaran Seremban, Negeri Sembilan dengan tema ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’.
Sehingga kini, penganjur mengesahkan menerima 28 orang peserta yang diwakili oleh Qari dan Qariah dari semua negeri di Malaysia dan tiada peserta johan menunggu bagi kategori Tilawah Al-Quran, dan setiap negeri akan menghantar enam orang peserta bagi kategori Manghafaz Al-Quran.
Tahun ini, semua peserta tilawah diwajibkan membaca Al-Quran secara bertaranum dengan dua jenis lagu yang ditetapkan secara berturut-turut dan peserta akan mengetahuinya semasa pengundian ayat nanti.
Kelainan ini bakal menjadi cabaran para peserta sepertimana yang telah ditetapkan oleh para juri dengan tujuan menguji ilmu taranum dalam membaca Al-Quran dan pastinya akan memberi nilai tambah kepada peserta yang akan menjadi johan nanti. Seramai 16 orang Jemaah hakim bagi acara tilawah dan 17 orang bagi acara menghafaz Al-Quran akan menilai aspek kelancaran (fasohah) bacaan dan hafazan masing-masing, hukum tajwid, kelunakan suara dan persembahan taranum.
Sementara itu, dua orang Qari dan Qariah Negeri Sembilan, Mohamad Husaini Mahmor dan Nor Farhatul Faizurah Panut akan mewakili Negeri Sembilan setelah kedua-duanya berjaya menaikkan nama daerah Seremban pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sembilan pada Februari lalu.
Johan kategori tilawah akan membawa pulang wang tunai RM 15,000, tambahan wang tunai RM 10,000 untuk menunaikan Fardhu Haji, cenderamata dan sijil penyertaan. Sementara itu, Johan lelaki dan wanita bagi kategori hafazan juzuk 1 hingga 30 akan menerima wang tunai RM 15,000 dan tambahan wang tunai RM 10,000 untuk menunaikan Fardhu Haji, Akaun Al-Awfar berjumlah RM 20,000 tajaan Bank Islam Malaysia Berhad serta piala iringan.
Selain itu, kerajaan Negeri Sembilan juga akan menyumbangkan Simpanan Emas bernilai RM 1,400 kepada johan, tempat kedua dan ketiga bagi setiap kategori dan hadiah iringan kepada semua peserta termasuk para pemenang.
Bagi kemudahan orang ramai yang akan hadir ke Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran ini, sebanyak lapan buah bas percuma disediakan untuk mengambil orang ramai dari Bank Islam Senawang, Stadium Paroi, Klana Resort dan KTM Seremban disepanjang majlis ini berlangsung.
Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 17 Mac 2019 nanti.