Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Ekspedisi Menawan The Lost World Air Terjun Maliau Basin

By 14 Mac 2019Tiada komen4 minit bacaan
 Laporan/Foto: Municca Kiat (Lahad Datu)

Tawau, 14 Mac (Malaysiaaktif) – Ekspedisi menawan The Lost World Air Terjun Maliau Basin akhirnya kesampaian meskipun perjalanan dari Kem Agathis ke Kem Ginseng sebelum menuju ke Air terjun Maliau mengambil masa enam jam dengan jarak sejauh sembilan kilometer (km).

Perjalanan yang agak sukar, kerana perlu menempuhi hutan tebal serta bukit bukau, ditambah lagi dengan keadaan cuaca yang tidak menentu pada ketika itu.

Misi menawan Air Terjun Maliau anjuran Jabatan Ketua Menteri Negeri Sabah yang membawa seramai 24 peserta terdiri daripada penjawat awam negeri dan persekutuan dalam ekspedisi selama empat hari bermula 7 hingga 10 Mac lalu.

Gigih mengharungi laluan yang sukar untuk sampai ke kawasan air terjun

Gigih mengharungi laluan yang sukar untuk sampai ke kawasan air terjun

Perjalanan ke Air Terjun Maliau dari Kem Ginseng mengambil masa kira-kira lima jam, membuatkan peserta program kali ini dapat merasai keindahan dan mengenali lebih dalam lagi hutan simpan Maliau Basin yang sinonim dengan panggilan The Lost World.

Selain daripada menikmati keindahan alam yang terdapat di kawasan itu, para peserta ekspedisi juga dapat merasai pengalaman menempuhi hutan pada waktu malam melalui aktiviti night safari serta melihat pelbagai jenis hidupan liar dengan melalui beberapa kawasan yang terdapat di Pusat Pendidikan Maliau Basin.

Penyelaras kumpulan ekspedisi Nurinah Abd Karim, dari Kelab Rekreasi Jabatan Ketua Menteri, berkata aktiviti ini merupakan aktiviti yang diadakan oleh kelab rekreasi jabatan yang diadakan pada setiap tahun.

Nurinah Abdul Karim(hadapan,tengah)

Nurinah Abdul Karim(tengah, duduk)

“Tujuan aktiviti ini diadakan adalah untuk melaksanakan aktiviti tahunan kelab selain daripada membawa peserta ataupun anggota jabatan di Jabatan Ketua Menteri untuk meneroka alam sekitar dan keluar daripada kesibukan kerja untuk sementara.

“Justeru itu, tidak salah untuk membawa dan menyelaras program kali ini untuk menguji ketangkasan dan stamina para peserta yang menyertai ekspedisi walaupun sibuk dengan kerjaya masing-masing,”katanya.

Tambahnya, aktiviti sedemikian akan diteruskan bagi mengekalkan gaya hidup yang sihat dalam kalangan penjawat awam dan diharap ekspedisi ini dapat menjadi contoh kepada penjawat awam yang lain untuk terus mencintai alam sekitar dan melakukan aktiviti sihat seperti ini.

Awangku Samsu Pg Mubin(dua dari kanan)

Awangku Samsu Pg Mubin (dua dari kanan)

Sementara itu, Ketua Ekspedisi, Awangku Samsu Pg Mubin mengakui sememangnya ekspedisi kali ini sangat mencabar kerana perlu menempuhi hutan belantara dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Namun begitu, ekspedisi kali ini membawa kejayaan apabila kesemua peserta dapat sampai dan menakluki Air Terjun Maliau yang sering disebut “Air Terjun Tujuh Tingkat”.

“Saya bangga dengan semua peserta kerana pulang dengan keadaan yang baik dan sihat walaupun terdapat dalam kalangan peserta yang mengalami kecederaan ringan melibatkan otot-otot di badan.

Wong Ket Moi(tengah)

Wong Ket Moi (tengah)

“Walaupun keadaan hutan yang sejuk dan peserta juga terdedah dengan ancaman daripada hidupan liar ketika berjalan untuk sampai ke destinasi seterusnya, saya yakin dengan kekuatan kumpulan peserta yang bersatu hati untuk sampai ke Air Terjun Maliau,” katanya bangga.

Samsu juga turut memuji rakan-rakan peserta yang berjaya mengikuti peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak Maliau Basin dan berharap agar aktiviti seumpamanya dapat diteruskan pada masa akan datang dengan di sertai lebih ramai lagi peserta.

Sememangnya, perjalanan empat hari tiga malam itu membuatkan peserta ekspedisi berasa sangat teruja dan ada di antara mereka ingin kembali lagi untuk menikmati keindahan flora dan fauna serta hidupan liar yang ada di sini.

 Juraimin Jadil(dua dari kiri)

Juraimin Jadil(dua dari kiri)

Bagi peserta wanita Wong Ket Moi, 60, yang juga seorang penjawat awam di Jabatan Ketua Menteri, berkata beliau teruja menyertai aktiviti lasak seperti ini kerana bukan sahaja dapat berjalan sejauh 9km untuk tiba di Kem Ginseng tetapi dia perlu merentas 5 km lagi hutan tebal ke Air Terjun Maliau.

“Saya bangga kerana dapat menyertai ekspedisi lasak ini dan dapat membuktikan bahawa faktor umur tidak menghalang saya untuk turut serta hingga berjaya tiba ke lokasi air terjun tersebut.

“Walaupun perjalanan agak sukar kerana perlu meredah belukar dan melalui jalan yang berbukit-bukau, keadaan seperti itu tidak menghalang saya daripada terus menyerah bagi menamatkan ekspedisi tersebut.

Norafifi Senin(dua dari kanan)

Norafifi Senin(dua dari kanan)

“Saya menyarankan kepada semua lapisan masyarakat untuk turut sama seperti saya dengan menyertai sebarang aktiviti yang mampu menyihatkan tubuh selain daripada meluangkan masa bersama rakan-rakan jabatan melalui ekspedisi ini,” ujarnya.

Seorang lagi peserta ekspedisi, Juraimin Jadil, yang mewakil Pejabat Daerah Lahad Datu turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur kerana memberinya peluang untuk turut serta menerokai hutan Maliau Basin.

Juraimin turut meluahkan rasa keterujaannya terhadap ekspedisi kali ini yang sangat mencabar dan bermakna kepada beliau sebagai peserta jemputan dari Lahad Datu.

Berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan.

Berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan.

“Saya berharap agar ekspedisi ataupun program sebegini mampu mengajak para penjawat awam untuk terus kekal cerdas dan tidak hanya terperap di dalam pejabat.

“Ini kerana penjawat awam juga berhak untuk melakukan aktiviti sebegini agar menjadi contoh untuk dan dapat menunjukkan bahawa walau sesibuk mana pun menghadapi kerja namun masih mampu memikirkan kesihatan diri,” kata Juraimin.

Ekspedisi selama empat hari itu turut memberikan seorang lagi peserta, Norafifi Senin pengalaman yang berharga.

IMG-20190314-WA0018

“Pengalaman ekspedisi ini semestinya tidak akan dapat dilupakan kerana perlu melalui jalan yang agak licin serta berbukit tinggi, dan ada juga jalan di lereng bukit terpaksa dilalui dengan memegang tali serta kehadiran serangga kecil dan paling digeruni seperti pacat.

“Memang seronok kerana berjaya bertahan selama 4 hari 3 malam di tengah-tengah hutan yang tidak mempunyai rangkaian telekomunikasi dan makanan juga terhad walaupun mengalami sakit kaki dan badan, tetapi saya berharap agar aktiviti seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Dengan penyertaan seramai 24 peserta bersama tujuh orang penunjuk arah, ekspedisi tersebut berjaya dan berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak di ingini. Rata-rata peserta berharap aktiviti seumpamanya dapat diteruskan dengan meneroka kawasan yang sesuai untuk aktiviti rekreasi seperti itu.

EM

Tinggalkan komen anda