Skip to main content
HomeLabuan

Air Mata Ibu Saksi Kecemerlangan Anak

By 14 Mac 2019Tiada komen3 minit bacaan
 Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian

LABUAN, 14 Mac (Malaysiaaktif) – Air mata seorang ibu yang hampir mengalir semasa ditemui media menjadi saksi keputusan cemerlang anaknya dalam Sijil Pelajaran  Malaysia (SPM) tahun 2018.

Nurhanani Ibrahim, 48, nyata terlalu gembira selepas mewakili anaknya, Nor Khalidah Sanip dari Sekolah Menengah (SM) Sains Labuan menerima slip keputusan SPM 2018 yang mencapai keputusan cemerlang 7A+ dan 2A-.

“Saya sangat gembira walaupun berdebar sebelum menerima panggilan dari Jabatan Pendidikan pagi tadi, Alhamdulillah, hanya Allah yang tahu perasaan saya.

“Anak saya juga menghantar mesej melalui aplikasi whatsapp awal pagi tadi memohon maaf jika keputusannya (SPM) tidak seperti yang diharapkan, tapi saya bersyukur dan tidak terkata apabila mengetahui keputusan cemerlang yang dia perolehi hari ini,” katanya.

Nurhanani turut berkongsi pengalamannya melihat bagaimana anaknya membahagikan masa antara pelajaran dan aktiviti sukan.

Raisin (barisan paling bawah, empat dari kanan) bergambar kenangan bersama para pelajar cemerlang SPM 2018.

Raisin (barisan paling bawah, empat dari kanan) bergambar kenangan bersama para pelajar cemerlang SPM 2018.

“Saya pernah terlihat anak saya tulis ‘I have a limited time, so I have to work more than others’ dalam buku notanya, dia terpaksa membahagikan masa antara pelajaran dengan kariernya sebagai atlet boling padang Labuan yang sering menyertai pelbagai pertandingan di dalam dan luar negeri,” katanya lagi.

Jelasnya anaknya merancang untuk meneruskan pengajian dalam bidang perubatan di luar negara satu hari nanti.

“Pada saya apa yang dia mahu kita akan bantu sebab kita tidak boleh halang minat dia yang ingin belajar dalam bidang yang dipilih,

“Sebagai ibu saya mahu dia jadi orang yang boleh membanggakan Labuan, anak Labuan yang berjaya dan boleh berkhidmat untuk Labuan,” kongsinya.

Nor Khalidah (dua dari kiri) bersama rakan sepasukan di Hong Kong dan China

Nor Khalidah (dua dari kiri) bersama rakan sepasukan di Hong Kong dan China

Nor Khalidah kini sedang beraksi mewakili Malaysia dalam Tiger Bowls World Invitation 2019 di Hong Kong dan China (Shenzhen dan Zhuhai).

Sementara itu seorang lagi pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan yang memperolehi 9A+ dan 1A, Audrey Agang Teo Li Xin, berkata tumpuan kepada guru yang mengajar di dalam kelas menjadi kunci kejayaannya.

“Semasa dalam kelas, perlu beri perhatian kepada guru yang sedang mengajar kerana pada masa itulah pelbagai ilmu yang baru dapat kita ambil.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada ibubapa, guru-guru dan rakan-rakan yang banyak mendorong saya untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan yang baik hari ini.

“Saya berhasrat untuk melanjutkan pengajian di peringkat A-Level atau Foundation In Science dan sedang dalam proses mengenal pasti peluang-peluang yang sesuai,” katanya.

Audrey Agang (paling kiri) dan David Agang (tengah)

Audrey Agang (paling kiri) dan David Agang (tengah)

Bapa kepada Audrey, David Agang yang ditemui juga berkongsi kegembiraan atas kejayaan anaknya itu.

“Sebagai bapa, saya sangat gembira anak saya dapat keputusan yang baik dan ini adalah usaha dia sendiri, ibubapa hanya memberi sokongan moral, diharap anak saya dapat melanjutkan pelajaran di universiti yang terbaik.

“Terima kasih juga kepada guru-guru yang memberi tunjuk ajar kepada anak saya sehingga dia mampu mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM,” jelasnya yang ditemui selepas Majlis Pengumuman Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018, Jabatan Pendidikan W.P Labuan, pagi tadi.

Sebelum itu, Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Raisin Saidin berkata, seramai 840 orang calon dari 906 calon keseluruhan di Labuan layak mendapat sijil dengan jumlah patus 92.72 peratus  berbanding 89.48 peratus pada tahun 2017 iaitu peningkatan sebanyak 3.24 peratus.

“Daripada 35 mata pelajaran yang diambil calon, 17 mata pelajaran mencapai kelulusan 100 peratus, selain sebanyak 25 mata pelajaran mengatasi pencapaian peringkat nasional, lima mata pelajaran menyamai pencapaian nasional dan hanya lima mata pelajaran di bawah pencapaian peringkat nasional,” katanya yang berucap pada majlis itu.

Raisin (paling kanan) beramah mesra bersama pelajar-pelajar cemerlang SPM 2018.

Raisin (paling kanan) beramah mesra bersama pelajar-pelajar cemerlang SPM 2018.

Selain Audrey dan Nor Khalidah, 12 lagi pelajar yang mendapat sekurang-kurangnya cemerlang A- dalam semua mata pelajaran adalah Janice Su Shi Fen, Yap Joe Win,Tan Xuan Jie,Belle Tan Bei Er, Wynette Clarissa Liew chea Chyee, Jayne carey Wong (SMK Labuan), Muhammad Asyraf Farhan Bacho, Shyazrul Amrie Rosli, Mohd Ezlii Erzuan Lee Bin Lee Kok Keng, Muhammad Ali Syahazuhdi Yusri (SM Sains Labuan) dan Nur Syafiqah Amira Lee Md Fuad (SM St. Anne).

EM

Tinggalkan komen anda