Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Karnival Pupuk Gaya Hidup Sihat

By 24 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Hasmah Hanafi/Mohamad Imran Mohd Sedi (Bandar Baharu)

BANDAR BAHARU, 24 Mac (Malaysiaaktif) –Kira-kira 250 orang hadir bagi memeriahkan sambutan Karnival Jom Sihat Anjuran Pusat Internet Bandar Baharu bersama pelbagai Jabatan, di sini hari ini.

Matlamat mendekatkan orang ramai dengan pusat internet di samping mengajak komuniti setempat untuk mengamalkan gaya hidup sihat menjadi agenda utama program kali ini.

Pengerusi Pusat Internet Bandar Baharu, Ahmad Syauqi al-Abrar Saifuddin berkata penganjuran karnival seperti ini amat baik dalam mempromosikan kerajaan sedia ada agar rakyat tahu perkembangan terkini apa yang kerajaan sedang dan telah rancang.

“Dengan adanya karnival seperti ini, hubungan baik antara komuniti setempat dapat dipupuk melalui penyertaan dalam pertandingan-pertandingan yang diadakan, selain mengajak semua mengamalkan gaya hidup sihat,” ujarnya ketika ditemui.

Orang ramai yang hadir memeriahkan Karnival Jom Sihat pagi tadi.

Orang ramai yang hadir memeriahkan Karnival Jom Sihat pagi tadi.

Merasmikan program tersebut, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Karnival Jom Sihat seperti ini merupakan satu amalan gaya hidup sihat yang sangat baik untuk diteruskan.

“Usaha murni seperti ini iaitu gabungan semua jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Daerah Bandar Baharu perlu diteruskan dalam apa jua program untuk kebaikan bersama.

“Saya menyeru agar penduduk Bandar Baharu bijak mengkomersialkan produk atau hasil yang ada di sini seperti buah durian yang menjadi potensi tarikan utama pelancong ke sini seperti yang dilakukan oleh Negara China yang menjadikan perasa original durian dan minuman berperisa cempedak original begitu laris dan disukai di Shanghai,” katanya di Dataran Bandar Baharu.

Menurutnya lagi penganjuran karnival seperti ini juga dapat memberi peluang kepada peniaga-peniaga tempatan untuk bersama-sama menyertainya.

Program ini bertujuan memperkenalkan pusat internet sebagai tempat rujukan komuniti sihat, mengeratkan kerjasama dengan komuniti dan agensi serta mewujudkan komuniti mesra teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan teknologi untuk penjagaan kesihatan.

-SH

Tinggalkan komen anda