Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

“Laksam Mengubah Kehidupanku”

By 5 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/Foto: Wee Kim Been (Kota Bharu Kelantan)

PASIR MAS, 4 Mac (Malaysiaaktif)– Laksam merupakan antara makanan popular di Kelantan, ia merupakan suatu produk makanan yang masih menggunakan sepenuhnya kaedah tradisional. Bagi Hasliza Ismail yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Kak Za’, 43, laksam kini telah mengubah kehidupannya. Kak Za memulakan jualan laksam secara kecil-kecilan sejak 10 tahun lalu hanya bermodalkan RM2000 hasil bantuanTabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) . Perniagaan ini mulanya hanya sekadar memenuhi permintaan masyarakat sekitar di samping mengisi masa terluang untuk menambah pendapatan.

Melayan pelanggan yang berkunjung di gerainya.

Melayan pelanggan yang berkunjung di gerainya.

Hasliza kini boleh menarik nafas lega, memandangkan jualan laksamnya mendapat sambutan yang menggalakan daripada masyarakat setempat. Permintaan laksamnya meningkat terutama pada musim cuti sekolah.

Kak Za, yang ditemui berkata amat berbangga hasil titik peluh selama ini telah membuahkan hasil dan dapat mewujudkan peluang kerja secara tidak langsung kepada orang kampung. Kini dirinya mempunyai empat orang pembantu tetap di kedai.

Pengunjung dari luar daerah Pasir Mas turut berkunjung ke Warung Kak Za.

Pengunjung dari luar daerah Pasir Mas turut berkunjung ke Warung Kak Za.

“Menghasilkan laksam yang enak serta lembut memerlukan adunan tepung beras yang berkualiti serta sukatan air yang bersesuaian amat perlu dititikberatkan. Manakala untuk membuat kuahnya pula saya lebih suka menggunakan isi ikan selayang yang mana rasanya lebih manis dan enak.

“Harapan saya perniagaan laksam ini tidak ditelan zaman. Saya akan promosikan juadah ini di laman sosial, bagi mencari pasaran baharu dan meningkatkan hasil jualan ke hotel-hotel sekitar Kota Bharu khasnya untuk diperkenalkan kepada pelancong dalam dan luar negara,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya baru-baru ini.

Menurut salah seorang pekerjanya, Asmah Jalil, 38, bermula seawal 4.00 pagi lagi, dia bersama Hasliza serta dua lagi rakannya mampu menghasilkan 90 batang laksam sehari. Setiap hidangan atau satu pingan ialah RM3 bagi sebatang laksam, habis dijual setiap hari.

Kak Za Laksam Telur Puyuh di Kampung Kelar Pasir Mas tidak pernah menghampakan setiap kali pengunjung singgah menikmati enaknya juadah tersebut, rasa yang lembut sesuai dinikmati setiap waktu oleh semua peringkat umur. Kak Za sentiasa mengolah juadah laksamnya agar sekali pengunjung datang menikmati, pasti ingin mencuba untuk kali berikutnya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda