Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Papar Tuan Rumah Kejohanan Bola Baling MSS Sabah 2019

By 7 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/Foto: Sukarni Asun/Pejabat Pendidikan Daerah (Papar)

PAPAR, 7 Mac (Malaysiaaktif) – Papar dipilih sebagai tuan rumah sempena Kejohanan Bola Baling Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sabah tahun ini yang berlangsung selama 3 hari bermula hari ini sehingga 10 Mac 2019.

Menurut Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan, kejayaan penganjuran ini merupakan satu bukti bahawa dengan adanya kerjasama yang erat serta perpaduan dari semua pihak maka tidak mustahil sesuatu perkara itu boleh dilaksanakan dengan cemerlangnya.

Ahmad ketika menyampaikan ucapan perasmian

Ahmad ketika menyampaikan ucapan perasmian

“Diharapkan dengan penganjuran seumpama ini akan dapat mencungkil bakat atlet sukan baru bola baling di kalangan para pelajar di samping dapat menanamkan sikap lebih proaktif dan komited dalam memainkan peranan ke arah melaksanakan dan mempraktikkan apa yang telah digariskan dalam Dasar Sukan Negara.

“Semoga atlet murid dari negeri Sabah boleh melakar sejarah dalam sukan bola baling di peringkat kebangsaan dan seterusnya antarabangsa,” katanya ketika merasmikan kejohanan tersebut pagi tadi.

Suasana ketika majlis perasmian berlangsung.

Suasana ketika majlis perasmian berlangsung.

Pengelolaan kejohanan bagi tahun ini telah menghimpun lebih daripada 1,000 orang yang terdiri daripada ahli jawatankuasa pengelola, jawatankuasa teknikal, guru pengiring dan para pemain.

Terdahulu, Pegawai Pendidikan Daerah, Suhaimi@Suhaini Matsah berkata kejohanan ini menggunakan sepenuhnya Dewan Datuk Salleh Sulong sebagai lokasi aktiviti sementara pemain dan guru pengiring akan ditempatkan di beberapa asrama sekolah menengah yang berhampiran.

Para peserta dan seluruh jawatankuasa hadir memenuhi dewan.

Para peserta dan seluruh jawatankuasa hadir memenuhi dewan.

“Seramai 936 orang peserta dan pegawai yang mewakili 24 buah Pejabat Pendidikan seluruh negeri akan berkampung dan mengambil bahagian pada kali ini.

“Bidang sukan merupakan platform terbaik untuk melahirkan pelajar-pelajar yang cergas daripada segi fizikal dan mental menerusi latihan yang konsisten dan seimbang daripada pelbagai aspek yang merangkumi mental, fizikal dan emosi.

“Sukan seperti bola baling ini juga mampu membentuk seorang pelajar yang cergas, patuh dengan peraturan dan secara tidak langsung membentuk seorang pemain yang berhemah tinggi, bertanggungjawab, berdisiplin dan mempunyai jati diri yang kental serta mempunyai daya kepimpinan,” ujarnya.

EM

Tinggalkan komen anda