Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Pasar Malam Siniawan Tarikan Baharu Bau

By 4 Mac 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak) 

Bau, 4 Mac (Malaysiaaktif) – Pekan Lama Siniawan, Bau  menyimpan banyak sejarah lampau tentang penempatan dan aktiviti awal perniagaan masyarakat Cina keturunan Hakka. Bangunan pasar lama diperbuat daripada kayu masih tersergam gagah sehingga kini. 

Bencana banjir yang seringkali melanda pasar ini semenjak dari awal pembinaan tidak mematahkan semangat pemilik kedai untuk mendiami dan menjalankan perniagaan di sini.  Banjir yang paling buruk pernah berlaku pada tahun 2003, 2004  dan 2009 mencecah sehingga 9 kaki, menenggelamkan seluruh tingkat bawah bangunan kedai  dan melumpuhkan pergerakan penduduk di sini. 

Terdapat 48 buah kedai kayu dibina dari tahun 1926 dan pembinaannya memakan masa bertahun-tahun. Pada masa aktiviti perlombongan di Bau sekitar tahun 1920an sehingga akhir 1970an, tempat ini sangat popular untuk berehat dan membeli-belah. 

Pasar ini melalui era  kesunyian kerana penduduk setempat telah mengalih kegiatan  membeli-belah ke Pekan Bau, E-Mart dan MJC. Pemberhentian aktiviti perlombongan dan  kekerapan banjir  menyebabkan ramai penduduk berpindah ke kawasan lain. 

Bagi mengembalikan nostalgia, JKKK Pekan Siniawan telah mengambil inisiatif mentransformasikan pekan ini bagi menarik pengunjung dan pelancong.  Pada tahun 15 Oktober 2010, JKKK diketuai oleh Penghulu Lai Shey Hiong dibantu oleh Kapitan dan Kaunselor serta pemilik kedai telah memulakan langkah dengan menjenamakan Pasar Lama Siniawan kepada Pasar Malam Siniawan (Siniawan Night Market).

Papan tanda Siniawan Night Market, juga menjadi salah satu tempat pengunjung mengambil gmbar

Papan tanda Siniawan Night Market, juga menjadi salah satu tempat pengunjung mengambil gmbar

Pasar malan ini dibuka pada setiap malam Jumaat sehingga malam Ahad dari jam 5.30 petang sehingga 10.30 malam. Selain menjual makanan, pengunjung boleh berhibur dengan persembahan karaoke. Ada ketikanya mereka mengadakan persembahan tradisional  untuk hiburan pengunjung.  

Sambutan pada tahun pertama pembukaan sehingga 2014 agak hambar namun diteruskan demi memastikan pasar bersejarah ini kembali ceria. Para pemilik kedai sebagai teras utama yang mentransformasikan pasar ini berusaha keras bagi menjayakan Pasar Malam Siniawan ini. 

“Pada mulanya sambutan amat dingin namun kami berusaha membuat beberapa aktiviti bagi menarik penduduk di sekitar Bau dan Kuching datang menjamu selera di pasar lama ini.” ujar Penghulu Lai. 

Homestay Tian Xia merupakan sebuah bangunan kedai kayu lama yang masih mengekalkan rekabentuk tradisi kaum Cina

Homestay Tian Xia merupakan sebuah bangunan kedai kayu lama yang masih mengekalkan rekabentuk tradisi kaum Cina

Menurut Dylan Lai,  juga pengusaha kedai makan ‘The Post’, “di sini kami menjual berbagai jenis menu dan makanan daripada eksotik, tradisional, moden dan Barat. Terdapat makanan daripada kaum Bidayuh, Melayu, Iban dan Cina boleh dinikmati dengan harga yang berpatutan,” jelasnyanya.

‘Kami juga turut menganjur beberapa aktiviti seperti ‘Cowboy Night’ untuk mempromosi dan menarik penduduk luar Siniawan datang ke tempat ini,” tambah Lai lagi. 

Terdapat lebih kurang 60 gerai makanan dan minuman menjual sama ada di kaki lima atau di dalam kedai. Terdapat juga sebuah ‘homestay’ dari bangunan kayu lama lengkap dengan penghawa dingin. Homestay Tian Xia ini mengenakan bayaran dari RM60.00 sehingga RM90.00 semalam. 

Pemandangan kawasan ini pada waktu malam amat berseri-seri  dengan limpahan berbagai jenis lampu perhiasan yang kebanyakan bermotif  budaya kaum Cina. Penduduk Cina kawasan ini majoritinya etnik Hakka tetapi mereka juga fasih bahasa tempatan iaitu Bidayuh dan Melayu Sarawak.  

Walaupun seringkali lumpuh akibat banjir besar namun Pekan Siniawan Lama ini tetap kekal kukuh berdiri di antara himpitan  Jalan Bau – Kuching dan Sungai Sarawak Kanan. 

Para pemilik kedai  di sini berharap lebih ramai lagi pengunjung dari  luar  Siniawan mengenali Pasar Malam Siniawan dan datang untuk menjamu selera sambal berhibur di tempat ini. 

Tinggalkan komen anda