Skip to main content
HomeJohor

Extreme Park Kluang, Wadah Baharu Penggemar Sukan Extreme

By 4 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/Foto: Abassalimi Mohamad (Kluang)

KLUANG, 4 Mac (Malaysiaaktif) – Extreme Park Kluang yang dibina dengan kos hampir satu juta Ringgit meliputi Projek Naik Taraf Trek Olahraga Kompleks Sukan Kluang dan pembinaan Extreme Park Kluang siap sepenuhnya.

Berucap dalam perasmiannya, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Mahkota, Mohd Said Jonit berkata “walaupun sebelum ini terdapat beberapa isu yang dibangkitkan oleh masyarakat sekeliling berkaitan kelewatan dalam menyediakan fasiliti ini, namun usaha dan semangat pihak-pihak yang terlibat, fasiliti ini dapat dirasmikan dan dibuka kepada masyarakat umum untuk aktiviti-aktiviti sukan extreme yang sememangnya popular dalam kalangan anak-anak muda pada hari ini.”

Tambah beliau, “sukan extreme ini kian mendapat tempat di hati warga Malaysia terutamanya dalam kalangan belia, walau bagaimanapun aspek keselamatan sering kali dilupakan dan tidak dijamin sepenuhnya.”

Oleh hal yang demikian beliau berharap di Extreme Park Kluang ini, keselamatan pengunjung adalah keutamaan dalam apa keadaan sekali pun dan dalam masa yang sama setiap pihak berkaitan perlulah komited dalam menggalakkan masyarakat Kluang untuk bersukan dalam sukan extreme.

Dalam masa yang sama juga beliau berharap dengan adanya Extreme Park Kluang ini dapat menjadi tempat yang strategik untuk menguatkan ukhwah antara satu sama lain dan juga bagi melahirkan keyakinan diri yang jitu, semangat setia kawan, kerjasama dan juga semangat kepimpinan dalam kalangan anak muda pada hari ini.

Ucapan perasmian Extreme Park Kluang Oleh ADUN Mahkota

Ucapan perasmian Extreme Park Kluang Oleh ADUN Mahkota

Beliau juga menambah, kadar penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti sukan tidak sampai 40 peratus berbanding negara-negara seperti Australia, Jepun dan United Kingdom yang melebihi 60 peratus. Apabila kadar penglibatan sukan di Malaysia rendah, ia memberi impak kepada pencapain di peringkat antarabangsa.

Oleh yang demikian, beliau menyeru masyarakat daerah Kluang dapat menerapkan budaya hidup sihat bagi mengelakkan terjadinya penyakit-penyakit kronik di kalangan masyarakat.

Mengakhiri ucapan, beliau menaruh harapan yang tinggi agar Extreme Park Kluang ini akan terus dihayati fungsinya sebagai pemangkin pembangunan belia di dalam daerah Kluang khususnya dan di dalam Negeri Johor amnya.

Beliau turut menyaksikan simbolik penyerahan Extreme Park Kluang Daripada Pegawai daerah Kluang, Ismail Abu kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang, Mohd Rafi Abdullah.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang, Mohd Rafi Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan daerah Kluang Mohammad Fadhil Jamal serta Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, DSP Abd Razak Abdullah.

EM

Tinggalkan komen anda