Skip to main content
HomeTerengganu

Pusat Internet Malaysia Penggalak Perkembangan Alam Maya di Luar Bandar

By 12 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Hairie Izwan Awang/Mohd Muliadi Salleh@Abdullah (Hulu Terengganu)

HULU TERENGGANU, 12 Mac (Malaysiaaktif) – Keberadaan Pusat Internet Malaysia di beberapa Kampung dalam Hulu Terengganu menjadi penggalak  perkembangan media elektronik terutama kepada golongan kanak-kanak dan mereka yang kurang berkemampuan.

Warga desa yang kurang berkemampuan sekarang ini boleh menarik nafas lega apabila mereka juga mampu menjelajah alam maya tanpa perlu mengeluarkan belanja besar dan tidak lagi ketinggalan dari arus perkembangan semasa, dengan bayaran sebanyak RM1 kepada ahli dan RM2 bagi bukan ahli untuk melayari internet selama satu jam, ianya amat berpatutan untuk orang dewasa, manakala perkhidmatan ini percuma kepada pelajar, warga emas dan juga OKU.

Kanak-kanak sedang khusyuk menggunakan kemudahan internet

Kanak-kanak sedang khusyuk menggunakan kemudahan internet

Bagi kanak-kanak, mereka kini boleh mempelajari penggunaan komputer dan menjelajah alam maya dalam keadaan yang selesa, terkawal dan terlindung dari anasir-anasir yang boleh memberi kesan buruk kepada selain menyertai pertandingan online anjuran Pusat Internet Malaysia yang menjadi satu kemestian bagi kanak-kanak di sini.

Bagi Penyelia Pusat Internet Malaysia Kampung Chapu, Mohd Muliadi Salleh@Abdullah, 42, pelbagai program yang telah dilaksanakan telah membuka minda masyarakat setempat supaya menggunakan kemudahan internet dan media sosial dengan sebaik-baiknya.

Mohd Muliadi Salleh@Abdullah. 42. Pengelia Pusat Internet Malaysia Kampung Chapu

Mohd Muliadi Salleh@Abdullah. 42. Pengelia Pusat Internet Malaysia Kampung Chapu

“Pusat Internet Malaysia sekarang ini bukan hanya menyediakan tempat untuk menggunakan komputer dan internet sahaja, tetapi diperluaskan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan antaranya menjadi tempat untuk belajar membuat biskut, kuih dan kek serta dibuka kepada pengusaha-pengusaha setempat untuk meletakkan produk mereka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu, Penyelia Pusat Internet Malaysia Kampung Kuala Ping Mohd Roslan Zakaria, 32, berkata perkhidmatan Ejen Bank Simpanan Nasional yang telah dibuka memudahkan urusan penduduk setempat dengan pihak bank selain pelbagai lagi urusan kewangan termasuklah pembayaran bil-bil utiliti, selain perkhidmatan jurutaip untuk membuat surat-surat penting.

Pertandingan Kuiz Online anjuran Pusat Internet Malaysia

Pertandingan Kuiz Online anjuran Pusat Internet Malaysia

“Pusat Internet Malaysia yang dibuka di bawah Kelolaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama beberapa syarikat penyedia talian mudah alih dan internet di Malaysia amat membantu masyarakat luar bandar supaya lebih dekat dengan perkembangan arus perdana,” ujarnya.

Melalui kepelbagaian aktiviti yang telah dilaksanakan oleh pusat-pusat ini, Pusat Internet Malaysia telah menjadi tempat yang wajib dikunjungi oleh setiap warga desa yang dahagakan ilmu pengetahuan dan maklumat.

EM

Tinggalkan komen anda