Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Telupid Melakar Transformasi, Eko-Pelancongan Tarikan Terbaharu

By 16 Mac 2019Tiada komen5 minit bacaan
 Laporan/Foto: Mohd Faizal Mansor/Mastim Kiriman (Kota Kinabalu)

Sandakan, 16 Mac (Malaysiaaktif) – Sejak dinaik taraf menjadi daerah penuh pada tahun 2014, kini daerah Telupid terus melakar transformasi mencakupi bidang ekonomi, pertanian mahupun eko-pelancongan yang merupakan tarikan terbaharu para pengunjung untuk ke daerah tersebut.

Telupid yang terletak 232 kilometer dari Kota Kinabalu dan 130 kilometer dari Sandakan merupakan tempat persinggahan para pengguna jalan raya antara pantai barat Sabah dengan pantai timur Sabah.

Restoran makanan segera terkemuka juga beroperasi di Telupid.

Restoran makanan segera terkemuka juga beroperasi di Telupid.

Daerah tersebut merupakan daerah yang begitu sinonim dengan sektor pertanian seperti perladangan komoditi kelapa sawit dan getah sejak dahulu lagi yang mana rata-rata pekerjaan utama masyarakat di daerah tersebut adalah pekebun kelapa sawit dan getah.

Menyingkap latar belakang daerah Telupid, ia menjadi Daerah Kecil di bawah pentadbiran daerah Beluran sejak tahun 1977 sehinggalah daerah itu telah diumumkan untuk dinaiktaraf sebagai daerah penuh oleh mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman pada 29 April 2013 serta diwartakan sepenuhnya pada 1 Januari 2014.

Menurut Pegawai Daerah Telupid, Benedict Asmat, keluasan daerah Telupid adalah seluas 3,698.367 kilometer persegi yang mempunyai sebanyak empat buah mukim dan 34 buah kampung.

Pegawai Daerah Telupid, Benedict Asmat.

Pegawai Daerah Telupid, Benedict Asmat.

“Kini penduduknya seramai 30,800 orang yang terdiri dari suku kaum Kadazan Dusun, suku kaum Sungai, Dumpas, Tidong, Bugis serta lain-lain suku kaum seperti Cina, Suluk, Melayu, Brunei, Ubian dan Pakistan.

“Daerah Telupid kini akan terus membangun setaraf dengan daerah-daerah penuh yang lain di negeri ini yang mana lokasinya yang strategik iaitu di pertengahan laluan Jalan Kota Kinabalu-Sandakan.

“Jalan tersebut yang juga terangkum dalam projek Lebuhraya Pan Borneo seperti yang dicadangkan sebelum ini bakal merubah daerah tersebut untuk menjadi tarikan para pengunjung,” ujarnya.

Bank Simpanan Nasional di Pekan Telupid untuk kemudahan penduduk Telupid.

Bank Simpanan Nasional di Pekan Telupid untuk kemudahan penduduk Telupid.

Sebagai pegawai daerah, beliau juga mahukan penduduk daerah tersebut dapat berfikir diluar kotak dan tidak hanya bergantung terhadap sektor pertanian sawit dan getah semata-mata.

Justeru, antara yang menjadi perhatian di daerah tersebut adalah Pusat Pembiakan dan Penyelidikan Kerbau terbesar di Malaysia serta projek pembangunan rusa yang terletak di Kampung Melapi selain Pusat Pembiakan Kambing Australia di Jalan Entilibon.

Bangunan baru yang mengubah sedikit sebanyak pekan Telupid.

Bangunan baru yang mengubah sedikit sebanyak pekan Telupid.

Benedict amat optimis Telupid akan terus menerima perubahan dan transformasi sesuai dengan statusnya sebagai daerah penuh khususnya dalam pembangunan infrastruktur mahupun perkhidmatan oleh jabatan-jabatan kerajaan walaupun setakat ini hanya beberapa jabatan dan agensi yang memulakan khidmat kepada penduduk daerah tersebut.

“Saya yakin kerajaan negeri mahupun persekutuan akan secara beransur meletakkan perkhidmatan jabatan dan agensi kerajaan yang lain ke Telupid dalam memastikan penduduk daerah ini mendapat manfaat dan tidak ketinggalan menerima sistem penyampaian kerajaan.

Kelihatan deretan bangunan baharu kedai di Pekan Telupid yang baru siap dibina.

Kelihatan deretan bangunan baharu kedai di Pekan Telupid yang baru siap dibina.

“Antara bangunan yang akan dibina di daerah tersebut adalah Kompleks Jabatan Kerja Raya yang telah diluluskan pembinaannya, serta menunggu kelulusan penubuhan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang amat diperlukan oleh masyarakat di sini,” kata Benedict.

Tambahnya, Ini ditambahkan lagi dengan sektor eko-pelancongan yang sejak kebelakangan ini berkembang dengan maju dan menjadi salah satu tarikan oleh masyarakat Sabah mahupun para pelancong dari luar yang menjadikan Air Terjun Tawai sebagai destinasi kunjungan apabila ke daerah Telupid.

Benedict sempat menjenguk ke Pasar Pekan Telupid

Benedict sempat menjenguk ke Pasar Pekan Telupid

Selain itu para pencinta alam yang ingin melawat ke Hutan Simpan Imbak Kanyon di Tongod menjadikan Pekan Telupid sebagai lokasi penginapan mereka sebelum berkunjung ke kawasan hutan simpan tersebut sekaligus menjadikan industri perhotelan bajet di pekan tersebut berkembang maju.

“Industri hotel di daerah ini memang mengalami perkembangan positif yang mana kini, Telupid mempunyai enam buah hotel dan tiga buah Rumah Rehat Kerajaan yang kadangkala tidak mampu menampung jumlah penginapan yang meningkat khususnya pada musim cuti sekolah mahupun musim perayaan.

“Air Terjun Tawai kini juga menjadi sebutan di kalangan pengunjung yang telah melawat tempat tersebut yang mana kecantikan air terjun tersebut mampu membuatkan para pengunjung jatuh cinta disebabkan keindahan semulajadi serta keadaan airnya yang jernih.

Benedict melawat Tamu mingguan Pekan Telupid.

Benedict melawat Tamu mingguan Pekan Telupid.

“Jadi memang tidak hairanlah sektor eko-pelancongan memberikan kesan yang begitu positif terhadap kemajuan daerah Telupid yang mana penduduk setempat juga mendapat limpahan rezeki khususnya dalam bidang perhotelan, gerai mahupun restoran di Pekan ini serta para penjaja tamu mingguan di Pekan Telupid,” ujarnya lagi.

Rata-rata masyarakat sekitar yang ditemui berharap Daerah Telupid akan terus memacu kemajuan seiringan dengan tarafnya sebagai daerah penuh.

Menurut Norwani Laimon yang bertugas sebagai penyambut tetamu di City Hotel Pekan Telupid, hotel tersebut kerap dikunjungi oleh para pengunjung yang ingin melawat Air Terjun Tawai selain menjadi tempat persinggahan untuk bermalam bagi para pengunjung yang ingin ke Pantai Timur Sabah.

orwani (kiri) dan Candra (kanan)

orwani (kiri) dan Candra (kanan)

“Biasanya hotel ini akan penuh setiap kali hujung minggu mahupun musim cuti sekolah yang mana bukan sahaja penduduk tempatan Sabah yang menginap bahkan para pelancong dari dalam dan luar negara,” kata Norwani.

Manakala menurut Riduan Junaidi, 45, yang bertugas sebagai pendidik berharap pada satu hari nanti akan dibina institusi pendidikan seperti Maktab Rendah Sains Mara mahupun institusi pengajian tinggi yang lain supaya anak-anak tempatan tidak perlu ke luar daerah untuk menimba ilmu.

Riduan Junaidi

Riduan Junaidi

Sementara itu, bagi salah seorang penjaja Tamu mingguan, Shriff Mokhtar 50, daerah Telupid kini memerlukan penambahbaikan infrastruktur yang mapan dari segi jalan raya, sistem saliran yang teratur dan baik.

Katanya, daerah Telupid kini telah berubah khususnya Pekan Telupid dengan penambahan bangunan kedai baharu, sedikit sebanyak mengubah landskap pemandangan pekan tersebut.

Shriff Mokhtar

Shriff Mokhtar

Menurut salah seorang generasi Y yang ditemui, Candra Laibis, 21, mewakili anak muda berkata, golongan seusianya amat berharap peluang pekerjaan akan banyak diwujudkan di daerah tersebut.

“Ini kerana generasi Y di situ banyak berhijrah ke bandar-bandar besar seperti Kota Kinabalu dan Sandakan yang menjanjikan lebih banyak peluang pekerjaan

“Namun saya tidak menolak sektor perhotelan dan eko-pelancongan bakal menawarkan peluang pekerjaan yang banyak di daerah ini nanti,” katanya.

Justeru daerah Telupid walaupun diiktiraf sebagai daerah luar bandar, namun Telupid terus memacu transformasi pembangunan setiap aspek ekonomi dan pembangunan infra yang akan menjadikan daerah Telupid agar “Duduk sama rendah, dan berdiri sama tinggi” dengan daerah-daerah penuh yang lain di negeri di bawah bayu yang tercinta ini.

EM

Tinggalkan komen anda