Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Tun Juhar Lahir Rasa Bangga Pencapaian Politeknik Kota Kinabalu

By 25 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Eviannie Kin/Mohd Nasrie Tapisil (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 25 Mac (Malaysiaaktif) – Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Datuk Juhar Mahiruddin melahirkan rasa bangga atas pencapaian cemerlang Politeknik Kota Kinabalu (PKK) sebagai sebuah institusi peneraju Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negeri ini.

Katanya, peningkatan kadar kebolehpasaran graduan PKK pada tahun 2018 iaitu 95 peratus berbanding 93.5 peratus pada tahun 2017 membuktikan institusi itu berjaya melahirkan graduan berkemahiran tinggi seiring dengan keperluan industri masa kini.

“Syabas saya ucapkan di atas pencapaian ini dan diharapkan agar politeknik akan terus melahirkan modal insan holistik dan dinamik demi merealisasikan hasrat negara dalam memacu peningkatan produktiviti serta pembangunan ekonomi Malaysia.

Graduan, Thien Yung Seng dari Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum yang disampaikan oleh Tun Juhar.

Graduan, Thien Yung Seng dari Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum yang disampaikan oleh Tun Juhar.

“Kejayaan graduan Politeknik dalam bidang pekerjaan yang memerlukan kemahiran tinggi membuktikan mereka berjaya mengubah persepsi masyarakat umum bahawa aliran pendidikan TVET mampu menghasilkan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing di peringkat global,” kata beliau semasa menyampaikan perutusan sempena Istiadat Konvokesyen kali ke-23 PKK di sini, pagi ini.

Tambah beliau, institusi Politeknik dan Kolej Komuniti memainkan peranan utama dan bertanggungjawab menyediakan para graduan untuk mendepani revolusi perindustrian keempat.

Pada masa sama, Tun Juhar turut menyeru para graduan untuk tidak hanya tertumpu kepada aktiviti mencari kerja tetapi berusaha untuk menjadi ‘job creator’.

Tun Juhar menyampaikan diploma kepada salah seorang graduan.

Tun Juhar menyampaikan diploma kepada salah seorang graduan.

Katanya, graduan perlu kreatif dalam mencari peluang pekerjaan dan juga ruang menjana ekonomi.

“Saya juga berharap para graduan tidak terlalu bersikap memilih pekerjaan, sebaliknya mampu bersaing dan sentiasa berupaya mencipta dan mempunyai nilai tambah yang diperlukan pihak majikan,” ujarnya.

Pada konvokesyen tersebut, Tun Juhar menyempurnakan penyampaian diploma serta sijil kepada 348 graduan termasuklah anugerah kecemerlangan akademik dan kokurikulum.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Malaysia, Profesor Datuk Teknologis (Ts) Dr Mohd. Ismail Abd. Aziz dan Pengarah PKK, Ts. Zainab Othman.

EM

Tinggalkan komen anda