Skip to main content
Berita TempatanHomeLabuan

1300 Peserta Dari 16 Negara Meriahkan LISC 2019

By 29 April 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto : Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin/Jeffrey Nian

LABUAN, 29 April (Malaysiaaktif) – Lebih 1300 orang peserta dengan penglibatan sokongan 16 buah negara menyertai acara-acara utama pada Labuan International Sea Challenge (LISC) 2019.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad, LISC 2019 menyediakana 17 acara terdiri dari tiga acara utama dan 14 acara sokongan.

“Apa yang lebih menarik, LISC 2019 menempa dua rekod di dalam Malaysia Book of Record (MBR) iaitu memecahkan rekod penyertaan paling ramai menerusi acara Labuan Cross Swimming Channel dengan jumlah peserta seramai 165 orang mengatasi rekod sebelum ini iaitu 103 orang yang dicipta semasa LISC 2013.

Khalid bersama tetamu jemputan lain semasa membuat pelepasan Pertandingan Memancing Balik Pulau

Khalid bersama tetamu jemputan lain semasa membuat pelepasan Pertandingan Memancing Balik Pulau

“Satu rekod baharu pula dicipta menerusi acara Round Island Kayak Challenge yang mengiktiraf laluan berkayak mengelilingi pulau yang terpanjang di Malaysia iaitu sejauh 53 kilometer.

Khalid (lima dari kiri) menyaksikan penyerahan sijil MBR kepada Perbadanan Labuan

Khalid (lima dari kiri) menyaksikan penyerahan sijil MBR kepada Perbadanan Labuan

“Dengan kejayaan ini menambah rekod LISC di dalam MBR yang sebelum ini mencipta tiga rekod iaitu penyertaan paling ramai untuk acara berenang antara pulau ke pulau, penyertaan paling ramai untuk acara berkayak mengelilingi pulau dan penyertaan paling ramai untuk acara lumba perahu,” katanya.

Jelas Khalid, selain menjadikan LISC sebagai sukan laut yang berprestij, tanggungjawab sosial bagi tujuan kebajikan tidak dilupakan.

Salah seorang pemenang pertandingan memancing kategori individu menerima hadiah daripada Khalid (tengah)

Salah seorang pemenang pertandingan memancing kategori individu menerima hadiah daripada Khalid (tengah)

“Ikan-ikan hasil tangkapan para peserta Pertandingan LISC DAIWA Fishing Tournament dilelong dan hasilnya akan disumbangkan kepada Pusat Pendidikan Autisme Labuan Sebagai program CSR para peserta dan pengelola acara ini.

“Menerusi usaha murni ini, saya pasti LISC bukan sahaja dinanti oleh peminatnya namun turut dirasai manfaatnya dalam kalangan badan-badan NGO,” katanya lagi.

Peserta Pertandingan Kayak Mengelilingi Labuan LISC 2019 memulakan perlumbaan.

Peserta Pertandingan Kayak Mengelilingi Labuan LISC 2019 memulakan perlumbaan.

Beberapa acara juga katanya dirancang untuk diadakan di Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun ini.

“Acara Jetski F1 akan diadakan pada Julai 2019 bertempat di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan sebagai usaha percubaan untuk menjadikan acara itu sebagai acara utama LISC 2020.

Peserta memancing Balik Pulau LISC 2019 menunjukkan hasil tangkapan kepada media.

Peserta memancing Balik Pulau LISC 2019 menunjukkan hasil tangkapan kepada media.

“Saya harap badan-badan korporat dapat memberikan sokongan dalam bentuk sebarang tajaan yang boleh membantu kos penganjuran acara ini, jika semua pihak memberi sokongan saya pasti Labuan diyakini penganjur untuk dimasukkan dalam siri jelajah acara jet ski di peringkat nasional serta antarabangsa,” jelasnya.

Khalid juga dimaklumkan terdapat acara yang akan dilaksanakan oleh pihak swasta iaitu program Labuan Big Show (LABS) pada 5 hingga 7 Julai 2019.

“Acara itu dijangka bakal menjadi tarikan pengunjung ke Labuan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya aktiviti menaiki belon udara panas yang merupakan pertama kali diadakan di Labuan,” katanya semasa merasmikan Majlis Apresiasi LISC 2019, malam semalam.

Peserta memancing Balik Pulau LISC 2019 menunjukkan hasil tangkapan kepada media.

Peserta memancing Balik Pulau LISC 2019 menunjukkan hasil tangkapan kepada media.

Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada Perbadanan Labuan, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Seni serta Tourism Malaysia yang mengurusetiakan LISC 2019 dengan jayanya.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi kerajaan, persatuan NGO dan pengelola acara yang menyumbang tenaga, masa dan kewangan dalam memastikan persiapan LISC 2019 berjalan lancar,” tambahnya.

Hadir sama pada majlis itu Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Saripuddin Kasim dan Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussien.

EM

Tinggalkan komen anda