Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

60 Warga Cemerlang Politeknik, Kolej Komuniti Zon Sabah Diraikan

By 22 April 2019Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Laporan/foto: Siti Mariam Aziz Rashid (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 22 Apr (Malaysiaaktif) – Seramai 60 anggota Politeknik dan Kolej Komuniti diraikan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2018, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Zon Sabah hari ini.

41 penerima anugerah tersebut terdiri daripada pegawai dan kakitangan Politeknik Kota Kinabalu (PKK), Sandakan dan Tawau, di mana 33 daripadanya merupakan penerima daripada PKK.

Manakala 19 orang lagi merupakan penerima daripada lapan buah Kolej Komuniti di Sabah iaitu daripada Tawau, Semporna, Lahad Datu, Sandakan, Tambunan, Beaufort, Penampang dan Kota Marudu.

Prof. Dato’ Dr. Mohd. Ismail (duduk tengah) bersama dengan Nooraidah (kiri) dan Zainab (kanan), merakamkan kenangan bersama penerima APC Politeknik Kota Kinabalu.

Prof. Datuk Dr. Mohd. Ismail (duduk tengah) bersama dengan Nooraidah (kiri) dan Zainab (kanan), merakamkan kenangan bersama penerima APC Politeknik Kota Kinabalu.

Majlis APC Tahun 2018, JPPKK Zon Sabah telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JPPKK, Prof. Datuk Ts. Dr. Mohd. Ismail Abdul Aziz.

Dr. Mohd. Ismail dalam ucapannya berkata, setiap penjawat awam bukan sahaja perlu mengamalkan nilai profesionalisme dan ketangkasan dalam melaksanakan tanggungjawab, malah harus mempunyai nilai integriti yang tinggi untuk menjamin pembentukan insan mulia dan beretika tinggi.

“Sesebuah organisasi yang mempunyai nilai integriti tinggi mampu bersaing di peringkat global, justeru kualiti unggul berteraskan kejujuran dan amanah dalam setiap tindakan perlu dipupuk bagi mencapai kecemerlangan diri dan organisasi.

Eric (kanan) menerima sijil APC daripada Prof. Dato’ Dr. Mohd. Ismai slambil disaksikan oleh Zainab.

Eric (kanan) menerima sijil APC daripada Prof. Datuk Dr. Mohd. Ismail sambil disaksikan oleh Zainab.

“Pelaksanaan tugas secara kreatif dan inovatif juga perlu bagi mencapai tahap produktiviti tinggi berdasarkan sumber manusia dan peruntukan sedia ada, yang seterusnya dapat memenuhi keperluan masyarakat.

“Saya berharap warga Politeknik dan Kolej Komuniti menampilkan pelaksanaan tugas hakiki yang lebih kreatif dan inovatif bagi menyahut cabaran untuk memenuhi keperluan masyarakat yang semakin bertambah kompleks dan sentiasa berubah,” katanya.

Mendahului senarai penerima adalah Pengarah Kolej Komuniti Tambunan, Jominin Goropos, diikuti Timbalan Pengarah Kolej Komuniti Beaufort, Sahairil Azlan Sahidun; Timbalan Pengarah Kolej Komuniti Kota Marudu, Shazrin Neerwan Christopher dan Ketua Jabatan Perdagangan PKK, Azfaedahanim Azis.

Jominin Goropos

Jominin Goropos

Jominin semasa ditemui berkata, beliau amat gembira dengan penghargaan yang diberikan dan akan menjadikan anugerah ini sebagai penyuntik semangat untuk terus memastikan Kolej Komuniti khususnya mencapai kecemerlangan.  

“Selaku Pengarah Kolej Komuniti Tambunan, saya amat berharap agar anugerah ini menjadi dorongan kepada saya dan kakitangan saya khususnya, untuk lebih dedikasi dan fokus dalam menjalankan tugas.  Kalau boleh kita beri lebih dari seratus peratus usaha untuk mencapai kecemerlangan,” katanya.

Beliau bersama dua kakitangan Kolej Komuniti Tambunan adalah antara penerima APC Tahun 2018.

Bagi Pensyarah Kejuruteraan Awam di PKK, Eric Yeo Cheng Aun, penganugerahan dan pengiktirafan yang diberikan kepada para penerima diharap mampu menyuntik semangat kepada warga kerja JPPKK untuk terus berkhidmat dengan lebih dinamik dan dedikasi bagi mencapai aspirasi Politeknik dan Kolej Komuniti agar terus unggul dan cemerlang.

Eric Yeo Cheng Aun

Eric Yeo Cheng Aun

“Kami berasa amat berbangga dan berterima kasih kerana segala usaha dan kerja keras kami dalam menyediakan dan menyampaikan pembelajaran yang berkualiti supaya pada akhirnya pelajar yang menerima pembelajaran di Politeknik mahupun Kolej Komuniti ini dapat menyumbang terhadap jati diri dan daya saing negara, seterusnya mampu menjadi insan yang cemerlang,” tambahnya semasa menyampaikan ucapan penghargaan mewakili para penerima APC Tahun 2018 JPPKK Zon Sabah.

Majlis APC Tahun 2018 JPPKK dilaksanakan mengikut zon di seluruh Negara dengan bilangan keseluruhan penerima seramai 1099 orang.  

Negeri Sabah merupakan zon pertama daripada lima zon yang melaksanakan majlis tahunan ini dengan PKK selaku tuan rumah.  

Para penerima APC menerima Sijil Penghargaan dan Sijil Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bernilai RM1,000.

Hadir sama Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Ts. Zainab Othman; Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan JPPKK, Nooraidah Abdullah; pengarah-pengarah serta timbalan pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti negeri Sabah dan barisan pengurusan PKK.

EM

Tinggalkan komen anda