Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Bantuan Mangsa Ribut diputuskan Esok

By 4 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 4 April (Malaysiaaktif) – Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) akan bermesyuarat esok bagi memutuskan bantuan kepada mangsa ribut Gombak Utara membabitkan 142 rumah.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata kerajaan negeri akan menyalurkan jumlah peruntukan baik pulih tersebut bergantung kepada kerosakan rumah.

“Esok, MTES akan akan putuskan berapa jumlah yang akan disalurkan mengikut jenis kerosakan sama ada kecil, sederhana atau kritikal.

“Biasanya RM5,000 bagi kerosakan kecil, RM20,000 bagi kerosakan sederhana dan RM50,000 membabitkan kerosakan teruk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara di Dewan Orang Ramai Batu 12, di sini petang tadi.

Loy Sian berkata setakat ini pihaknya mengenal pasti sebanyak 22 buah rumah di Batu 11 dan 12 mengalami kerosakan teruk perlu dibaiki segera.

“Saya harap mereka bersabar, esok akan ada keputusan. Saya bersimpati dengan kejadian menimpa mangsa dan Ini merupakan kejadian ribut yang ketiga berlaku di Selangor tahun ini.

“Sebelum ini berlaku di Tanjung Karang dan daerah Petaling. Jika dibandingkan tahun lalu, tahun ini lebih serius sedikit mengakibatkan kerosakan harta, rumah dan kecederaan,” katanya.

Dalam kejadian 28 Mac lalu, hujan lebat dan ribut lebih kurang jam 5 petang menyebabkan pokok tumbang menghempap rumah penduduk di Gombak Utara.

Kejadian tersebut turut membabitkan Pondok Penyayang Raudhah, Batu 11 Gombak mengakibatkan lapan orang cedera termasuk seorang yang masih kritikal berada di hospital.

Setakat hari ini, seramai 101 mangsa daripada 23 keluarga masih berada di pusat pemindahan sementara itu.

-NAZ

Tinggalkan komen anda