Skip to main content
Berita TempatanHomeTerengganu

Dengar dan Lihat Cara ‘Ngundi’ Sebenar

By 24 April 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto: Aneta Ahmad /Mohd Hairie Izwan Awang (Hulu Terengganu)

HULU TERENGGANU, 24 Apr (Malaysia Aktif) – Seramai 668 orang pelajar dari Sekolah Menengah Ajil (SMA), Ajil teruja apabila dapat mendengar dan melihat secara terus simulasi kaedah membuang undi atau dikenali sebagai ‘Ngundi’, semalam.

Program yang dinamakan `Aktiviti Amalan Demokrasi Berparlimen SMK Ajil’ diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah, kaedah serta proses pilihan raya di negara ini.

Sebahagian pelajar SMK Ajil yang terlibat.

Sebahagian pelajar SMK Ajil yang terlibat.

Menerusi program ini, pelajar sekolah diberi pendedahan tentang proses demokrasi dan bagaimana pemilihan wakil rakyat dilakukan. Pelajar berpeluang mengikuti sepenuhnya proses pengundian bermula daripada penamaan calon, kempen, mengundi sehingga ke pengumuman calon yang menang.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Terengganu, Mohammad Salahuddin Salleh ketika menyampaikan ceramah  program itu berkata, simulasi proses pengundian untuk pelajar sekolah khasnya Kelab Malaysiaku ini merupakan kali kedua diadakan di negeri Terengganu selepas pelancaran Program pada bulan Mac dan pihak  SPR percaya, program sebegini dapat memberi pengetahuan baharu mengenai perjalanan pilihanraya dan peranan SPR.

Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Negeri Terengganu, Muhammad Salahuddin Salleh, 30

Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Negeri Terengganu, Muhammad Salahuddin Salleh, 30

“Pihak kami berbesar hati mengadakan kerjasama bersama Pejabat Penerangan Daerah Hulu Terengganu dan Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu bagi menyebarluaskan maklumat mengenai pilihan raya kepada para pelajar dan dapat membantu pelajar secara teori serta latihan. Pengalaman ini dapat diaplikasikan selepas mereka berkelayakan untuk mengundi,” katanya.

Bagi pelajar sekolah terlibat, Haziq Azri Mohd Sharif, 13, berkata aktiviti sebegini sememangnya sangat bagus kerana dapat merasa situasi pilihan raya sebenar.

Haziq Azri Mohd Sharif, 13

Haziq Azri Mohd Sharif, 13

“Program ini sangat bagus kerana biasa kita lihat Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam televisyen sahaja, namun hari ini kami dapat mendengar taklimat dan terlibat dalam simulasi pilihanraya,” katanya.

Salah seorang pelajar yang bertanding dalam simulasi kali ini mewakili parti pokok Dhiaa Mardhiya Harzul Ridzuan, 17, berkata simulasi ini sangat baik dan beliau bersama dua rakan yang lain pada mulanya berasa malu kerana dipilih secara rawak menjadi calon bertanding dalam simulasi ini namun setelah mendengar penerangan daripada penceramah keterujaan itu datang.

Guru Kanan Mata pelajaran Kemanusiaan, SMK Ajil, Rahmah Harun

Guru Kanan subjek Kemanusiaan, SMK Ajil, Rahmah Harun

“Bukan senang untuk berada di hadapan kerana perasaan gementar dan malu ada tambahan pula berada di hadapan kawan-kawan. Namun, perasaan itu berganti dengan rasa teruja semasa simulasi pilihan raya berlaku.”

Guru Penolong Kanan Matapelajaran Kemanusiaan, Rahmah Harun yang turut hadir juga memberitahu bahawa aktiviti sebegini sangat praktikal kerana teorinya ada di dalam subjek Sejarah tingkatan lima dan Sivik tingkatan empat.

Bergambar kenangan selepas Simulasi mengundi.

Bergambar kenangan selepas simulasi mengundi.

“Aktiviti ini merupakan salah satu daripada modul di dalam Kelab Malaysiaku, sebuah Kelab yang ditubuhkan di peringkat sekolah menengah yang terpilih melalui kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dan sebanyak tujuh Kelab Malaysiaku di Daerah Hulu Terengganu yang terlibat,” ujarnya.

Selain Amalan Demokrasi Berparlimen, modul lain yang bakal dilaksanakan oleh semua sekolah yang terlibat adalah Kembara Kelab Malaysiaku dan Wacana Kemerdekaan yang mendedahkan ahli Kelab Malaysiaku tentang kecintaan kepada negara serta menjadi pelajar yang lebih berani dan berketrampilan.

EM

Tinggalkan komen anda