
Laporan/foto: Siti Nabila Bohari/Mohd Najib Mohaini (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 24 Apr (Malaysiaaktif) – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Johor dengan kerjasama Jabatan Penerangan Negeri Johor mengadakan Program Amalan Demokrasi Berparlimen di Maktab Sultan Abu Bakar di sini, hari ini.
Program ini diadakan bagi memberi pendedahan awal serta pendidikan sivik kepada pelajar supaya memahami perjalanan sebenar pilihan raya, fungsi dan bagaimana amalan demokrasi berparlimen itu berlaku.
Program yang mensasarkan pelajar sekolah melalui Kelab Malaysiaku yang melibatkan empat daerah di Negeri Johor iaitu Daerah Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai dan Pontian ini melibatkan 20 buah sekolah yang mempunyai Kelab Malaysiaku yang merupakan pertubuhan di sekolah di bawah Jabatan Penerangan untuk menyalurkan maklumat lebih berkesan kepada generasi muda seiring moto kelab Malaysiaku ‘Penggerak Transformasi Pelajar’.
Peserta terlibat diberi pendedahan bermula dari proses pembubaran parlimen sehinggalah kerajaan baru dibentuk. Simulasi terperinci diadakan supaya semua peserta memahami proses pilihan raya yang telus di negara ini.
Menurut Pengarah Penerangan Negeri Johor, Zainudin Ismail program ini bertujuan memberi pendedahan awal mengenai amalan sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen yang diamalkan serta memberi pengalaman kepada pelajar supaya dapat merasai sendiri suasana sebenar pilihan raya yang dikendalikan pihak SPR.
Pelajar juga berpeluang mempelajari sesuatu yang tidak dipelajari di sekolah dan mendidik mereka menjadi pengundi yang baik pada masa akan datang.
“Selain dari program pendidikan sivik pilihan raya ini, pihak Jabatan Penerangan juga sentiasa membantu pihak SPR bagi menggalakkan pengundi untuk keluar mengundi.
“Selain itu, pihak jabatan juga bekerjasama dengan pihak SPR dalam memastikan rakyat Malaysia yang layak mengundi supaya mendaftar sebagai pengundi dengan membuka pusat pendaftaran undi semasa program-program dianjurkan Jabatan Penerangan,” ujar beliau.

Sesi gambar kenangan semua pelajar yang terlibat (daerah johor bahru, pontian dan kota tinggi) sempena Program Amalan Demokrasi Berparlimen.
Sementara itu Pengarah SPR Negeri Johor, Shafie Taib berkata jumlah pengundi yang telah berdaftar di negeri Johor pada suku pertama 2019 adalah sebanyak 1.83 juta. Manakala seramai 460,000 lagi yang layak mengundi belum mendaftar sebagai pemilih.
Berikutan angka yang besar tersebut, pihak SPR merangka pelbagai program supaya rakyat Malaysia yang layak mendaftar menjalankan tanggungjawab mereka.
“Pihak SPR dalam proses penambahbaikan untuk menarik lebih ramai pengundi supaya mendaftar. Pelbagai program dirangka antaranya program pada hari ini yang melibatkan pelajar sekolah dinamakan ‘civic education’ memberi tumpuan kepada mereka yang belum mengundi supaya tertarik untuk mendaftar apabila telah mencapai had umur yang ditetapkan,” ujar beliau dalam sidang medianya.
Justeru itu, pelajar sekolah perlu diberi pendedahan awal serta mendapat pendidikan mengenai proses pilihan raya di negara ini. Program seumpama ini memberi impak positif kerana ia merupakan platform terbaik membentuk bakat kempimpinan serta melahirkan pelajar yang berketrampilan dan proaktif.
Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri Johor, Safie Taib, Penyelia Kanan Kelab dan Persatuan Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Azman Ansar dan Pengetua Maktab Sultan Abu Bakar, Anuar Sukiran.