Skip to main content
HomeJohor

Ikan Senangin Bawa Tuah RM 10,000

By 16 April 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto:  Shahqrul Azim Shaari/Muhamad Rumzi Tupani (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 16 Apr (Malaysiaaktif) – Ikan Senangin seberat 1.945 kilogram nyata membawa tuah kepada seorang peserta Program Kulim Kota Tinggi Boat Fishing Challenge 7.0, Asep Sukander.

Beliau berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM 10,000 beserta piala pada pertandingan yang diadakan baru-baru ini di Kulim Eco Trail Retreat, Ladang Basir Ismail dekat sini.

Acara tahunan yang memasuki tahun ketujuh penganjuran ini diadakan sempena Sambutan Hari Keputeraan Rasmi Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.

Objektif utama penganjuran acara ini adalah untuk memperkenalkan Sungai Johor dan Kota Tinggi khususnya sebagai destinasi sukan memancing yang juga berpotensi menjadi destinasi sukan pelancongan di Negeri Johor.

Peserta Pertandingan Kulim Kota Tinggi Boat Fishing Challenge 7.0 bersedia untuk memulakan pertandingan seawal 7.00 pagi

Peserta Pertandingan Kulim Kota Tinggi Boat Fishing Challenge 7.0 bersedia untuk memulakan pertandingan seawal 7.00 pagi

Acara ini juga menjadi sebahagian dari inisiatif JCorp-Kulim dengan kerjasama agensi kerajaan dan swasta dalam usaha membangunkan ekonomi setempat khususnya melalui peluang peniagaan yang berasaskan sukan memancing menggunakan bot.

Selain pertandingan memancing, turut dianjurkan acara sampingan adalah Kulim Badang Man 2019 yang turut menarik penyertaan dari dalam dan luar negara.

Aktiviti sukan rakyat ini disertai hampir 100 peserta yang terdiri dari penduduk setempat dan terdapat cabutan bertuah dengan hadiah lumayan sebuah motosikal SYM E Bonus 110 dan barangan memancing.

Menurut salah seorang peserta pertandingan memancing yang ditemubual Mohd Hairudin, 38, beliau nyata teruja menantikan program ini saban tahun bagi merebut hadiah wang tunai yang ditawarkan.

Salah seorang peserta menunjukkan hasil tangkapan

Salah seorang peserta menunjukkan hasil tangkapan

“Saya menyertai program ini setiap tahun sejak ia mula dianjurkan di sini. Selain memancing, kita juga dapat menjalinkan hubungan silaturrahim bersama peserta yang datang dari seluruh negara. Secara tidak langsung, pemancing dari luar ini dapat mengenali Sungai Johor yang menjadi habitat pelbagai jenis ikan di samping berpeluang memenangi hadiah yang ditawarkan,” ujarnya.

Pada pertandingan berkenaan, pihak juri dari Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan memilih ikan yang terberat untuk dinobatkan sebagai pemenang. Juara menjadi milik Asep Sukander yang berjaya menaikkan Ikan Senangin seberat 1.945 kilogram, diikuti Nasir Yahya yang menaikkan ikan Kerapu seberat 1.650 kilogram berada di tempat kedua, manakala tempat ketiga diraih oleh Ismail Ahmad yang berjaya menaikkan ikan Bawal seberat 1.215 kilogram.

Bagi acara Kulim Badang Man 2019 pula, peserta dari Perlis, Mohd Firdaus Jamen berjaya diiktiraf sebagai Mr. Badang dan membawa pulang wang tunai RM 1500 setelah berjaya memenangi lima disiplin yang dipertandingkan.

Antara disiplin yang perlu dihadapi oleh para peserta adalah seperti Tyre Flick, iaitu mengangkat tayar seberat 350 kilogram; Farmers Walk iaitu mengangkat bebanan seberat 100 kilogram sambil berlari dan Badang Man, iaitu menarik traktor seberat 800 kilogram dalam masa 90 saat sehingga ke garisan penamat.

Salah seorang peserta menarik traktor dalam Disiplin Badang Man

Salah seorang peserta menarik traktor dalam Disiplin Badang Man

Seorang peserta acara Kulim Badang Man yang ditemui, Zarol Alfian, 25, dari Selangor berkata, beliau berpuas hati dengan penganjuran acara ini yang disifatkan mencapai matlamat bagi mencari ‘orang kuat’ atau badang.

“Saya difahamkan kisah mengenai Badang, iaitu manusia perkasa yang pernah hidup pada zaman dahulu memang berasal dari daerah ini. Memang tepatlah penganjurannya diadakan di Kota Tinggi bagi mengenang asal-usul badang.

“Saya juga berpuas hati walaupun menjadi juara pada tahun lalu dan hanya sebagai naib juara tahun ini, namun saya sudah mencuba yang terbaik,” ujarnya lagi.

Disiplin Farmers Walk yang perlu dihadapi peserta Kulim Badang Man 2019

Disiplin Farmers Walk yang perlu dihadapi peserta Kulim Badang Man 2019

Program dirasmikan oleh Pegawai Daerah Kota Tinggi, Farizal Ismail yang turut membuat pelepasan peserta pada sebelah pagi. Turut hadir, Pengarah Eksekutif Kulim (Malaysia) Berhad, Zulkifly Zakariah dan Pengarah Urusan Joran Bagus, Azmi Nan.

EM

Tinggalkan komen anda