
Laporan/Foto: Hazlinah Samsir/Johnny Joklis (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 23 Apr (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan Malaysia Sabah (JaPen) menyahut seruan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sempena program ‘Jom Baca Bersama 10 Minit’ yang berlangsung serentak di seluruh negara.
Timbalan Pengarah JaPen Sabah, Yunus Saprin berkata, warga JaPen perlu terus menambah ilmu pengetahuan sedia ada melalui pembacaan.
“Pada masa kini, membaca tidak hanya terhad kepada buku, majalah atau bahan bacaan bercetak sahaja tetapi kita dengan mudah boleh mengakses maklumat dan mendapatkan pengetahuan baharu melalui capaian internet.
“Oleh itu, saya berharap agar warga JaPen terus menimba ilmu melalui pembacaan kerana ini adalah satu amalan yang sangat dituntut sehingga ayat pertama yang diturunkan dalam Al-Quran adalah ‘bacalah’,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi Visual dan Senireka (BKVS), JaPen, Razif Chek Hashim berkata, tujuan utama program itu diadakan adalah bagi menyahut seruan PNM dalam menyemarakkan amalan membaca sebagai gaya hidup rakyat Malaysia.
“Terdapat pelbagai manfaat yang diperoleh melalui pembacaan, bukan hanya menambah pengetahuan malah membolehkan pembaca berimaginasi melalui penulisan bukan fiksyen.

Melanie ketika menyampaikan perkongsian ilmu bertajuk “Bagaimana Penulisan Sastera Membentuk Minda”.
“Ia merupakan sokongan semua perpustakaan di Malaysia bersama pihak kerajaan dalam meningkatkan pembudayaan membaca dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam program tersebut di Pusat Sumber, Jabatan Penerangan Sabah, hari ini.
Selain aktiviti membaca bersama bermula 11.00 pagi itu, warga JaPen turut berpeluang mendengar perkongsian Ted Talk oleh Melanie Marcellina Kinjawan bertajuk ‘Bagaimana Penulisan Sastera Membentuk Minda’.
Dalam pada itu, Pusat Sumber JaPen Sabah turut membuka rak khas dinamakan ‘Apresiasi Rak’ bagi perkongsian buku baharu dan terpakai dari warganya sebagai usaha mempelbagaikan bahan bacaan.
‘Jom Baca Bersama 10 Minit’ merupakan simbolik kepada pembacaan serentak di seluruh negara yang dianjurkan oleh PNM dengan penglibatan semua masyarakat serta pelbagai agensi kerajaan sejak tahun 2014.