Skip to main content
Berita TempatanHomePahang

Pesta Buku Pulau Pinang Pupuk Minat Membaca

By 23 April 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Halimah Abdul Ghani (Seberang Perai Tengah)

BUKIT MERTAJAM , 23 Apr (Malaysiaaktif) – Bertempat di Mydin Mall, Bukit Mertajam telah berlangsungnya Pameran Dunia Media atau Pesta Buku Pulau Pinang. Ianya merupakan acara tahunan inisitif Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang di mana kali ini merupakan kali keempat program ini dilaksanakan. Tuan Yang Terutama, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang telah hadir menyempurnakan perasmian pada program ini.

Selepas upacara perasmian, tetamu kehormat juga turut sama menyertai kempen ‘Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit’, yang berlangsung serentak seluruh negara tepat jam 11.00 pagi. Bagi negeri Pulau Pinang, sebanyak 10 tempat telah diadakan lintas langsung kempen iaitu di Mydin Mall Bukit Mertajam, Rapid Feri Pulau Pinang, Perbadanan Bukit Bendera, Kolej Komuniti Tasek Gelugor, Tabika Perpaduan Taman Sukun, Penjara Seberang Perai, Pusat Jagaan Damai, SMKA(P) Al-Mashoor dan Klinik Cure & Care Bukit Mertajam.

Upacara gimik perasmian oleh Yang DiPertua Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas

Upacara gimik perasmian oleh Yang DiPertua Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas

Program yang berlangsung bermula hari ini hingga 28 April 2019 turut diisi dengan pelbagai slot menarik kepada pengunjung. Antaranya ialah rekaan fesyen, bercerita kanak-kanak, refleksi berirama, ekspresi diri hijabista, kolaj keluarga, bengkel melukis bersama kartunis Ujang, demonstrasi kraftangan, demonstrasi ukiran buah, bengkel robotik, pertandingan permainan tradisional, bengkel teknik mewarna, bacaan braille, pertandingan blok, pelancaran buku, bicarawara projek mega rumah bersama Ustazah Fatimah Syarha, persembahan dari Kumpulan Ukays dan lain-lain lagi.

Program yang berlangsung selama enam hari ini turut dimeriahkan dengan pameran serta jualan buku yang mana sebanyak 45 syarikat pengedar dan penjualan buku yang terlibat. Harga yang ditawarkan juga agak menarik dan pengunjung berpeluang menikmati potongan harga sehingga 70%.

Antara pengunjung yang hadir dan menyertai kempen 'Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit'

Antara pengunjung yang hadir dan menyertai kempen ‘Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit’

Menurut Encik Syed Ibrahim dari Syarikat Buku Adam, ini merupakan tahun ketiga mereka turut mengambil bahagian dalam program Pameran Dunia Media. Menurut beliau lagi, ini adalah sebagai salah satu usaha dalam memperkenalkan syarikat mereka kepada orang awam. Beliau juga mengharapkan program ini mendapat maklumbalas yang baik daripada pengunjung sepertimana sebelum ini.

Pelaksanaan program seumpama ini wajar diteruskan kerana ianya secara tidak langsung dapat memupuk minat membaca di kalangan masyarakat seterusnya dapat melahirkan rakyat yang gemar membaca.

Tinggalkan komen anda