Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Kerjasama Antara Industri Memastikan Kejayaan TVET

By 11 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Laporan/foto:  Robin Junang & Siti Fairuz Ngatenan (Sarawak)

KUCHING, 11 Apr (Malaysiaktif) – Pendidikan bermutu terhasil daripada  pendekatan dan bagaimana ia diaplikasikan bagi memastikan Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pengajaran menepati kehendak  pelajar dan Industri.

Melalui jalinan kerjasama yang efektif antara institusi pendidikan dan industri mampu melonjak prestasi pelajar serta mengupayakan mereka bersaing di pasaran pekerjaan ataupun memperolehi ilmu bagi meningkatkan kemahiran diri. Pendekatan holistik merupakan satu peluang bagi mencambah idea dan menambah baik aspek pembelajaran dan pengajaran terutama dalam bidang kemahiran di Kolej Komuniti Kuching.

Antara pelajar menunjukan hasil kerja mereka

Antara pelajar menunjukan hasil kerja mereka

“Keterlibatan pihak industri dalam bidang  TVET di sesebuah institusi pengajian lanjutan menjadikan program kemahiran yang ditawarkan terus relevan seiring dengan keperluan industri,” kata Suraijah Zainol mewakili Pegawai Daerah Kuching ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Architecture Portfolio Day anjuran Unit Teknologi Senibina, bertempat di Dewan Serbaguna, Kolej Komuniti Kuching.

“Hubungan strategik yang berterusan antara pihak kolej dan industri juga amat penting bagi memastikan kurikulum pembelajaran sentiasa menepati keperluan dan kehendak pasaran kerjaya”, ujar beliau lagi.

Architecture Portfolio Day merupakan program pameran serta penilaian terhadap hasil kerja daripada pelajar Diploma Teknologi Senibina dan Sijil Teknologi Senibina. Program diadakan bertujuan mengenalpasti kelemahan dan peluang penambahbaikan dalam kurikulum serta projek melalui penilaian yang dijalankan oleh panel.

Suraijah Zainol (kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar sambil disaksikan oleh Fadil Aziz (dua kiri)

Suraijah Zainol (kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar sambil disaksikan oleh Fadil Aziz (dua kiri)

Terdahulu, Pengarah Kolej Komuniti Kuching Technologies (Ts.) Fadil Aziz berkata, “pihak kolej berusaha memperkukuhkan jalinan kolaborasi dengan panel akademik dan industri sedia ada iaitu Fakulti Alam Bina, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) MySTECH Solution Sdn Bhd, serta mencari rakan kolaborasi yang baharu antaranya Firma Arkitek Nurina Mat Noor dan PCSS Consultancy Sdn Bhd”.

“Kerjasama dua hala antara kolej dan pihak industri adalah menepati teras kelima dalam Pelan Tindakan Kolej Komuniti  Kuching bagi tahun 2019-2020 iaitu memperkukuh kolaborasi industri dan komuniti,” ujarnya lagi.

Mohamad Azrin Ramli (kiri) menerangkan hasil kerja pelajar kepada Suraijah Zainol

Mohamad Azrin Ramli (kiri) menerangkan hasil kerja pelajar kepada Suraijah Zainol

Pada majlis sama, Suraijah turut menyampaikan sijil kepada 10 orang pelajar yang berjaya membentangkan hasil kerja dan menyeru agar mereka menggunakan maklum balas yang diterima daripada panel penilai untuk penambahbaikan diri masing-masing.

Turut hadir Ketua Program Teknologi Senibina, Mohamad Azrin Ramli, Pengarah Urusan Firma Arkitek Nurina Mat Noor, Nurina Mat Noor, Dr Atta Idrawani Zaini Fakulti Alam Bina, UNIMAS, Francis Emang Ajeng, MySTECH Solutions Sdn Bhd, Andy Tiong, PCSS Consultancy Sdn Bhd dan Istab Mohamad, Kembara Hijrah Sddn Bhd.

Tinggalkan komen anda