Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

KKM Pererat Kerjasama Dengan Kerajaan Sabah

By 6 April 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
 Laporan/foto: Asmidar Zainol/Marusin Minuddin (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 6 Apr (Malaysiaaktif) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus mempererat kerjasama dengan kerajaan Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, antara kerjasama yang telah dipersetujui adalah meningkatkan mutu perkhidmatan, latihan, pendidikan dan penyelidikan dalam bidang kesihatan.

“Kita akan meningkatkan mutu perkhidmatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) 1, HQE 2, Hospital Likas dan juga 24 hospital di daerah seperti Tawau yang akan menjadi hospital pakar utama dalam perkhidmatan perubatan dan pembedahan antaranya dalam bidang neurosurgeri dan sebagainya. 

Noor Hisham (dua dari kanan) berbual mesra dengan Shafie (kanan) sambil disaksikan oleh Abd Kahar (kiri) dan Christina (dua dari kiri).

Noor Hisham (dua dari kanan) berbual mesra dengan Shafie (kanan) sambil disaksikan oleh Abd Kahar (kiri) dan Christina (dua dari kiri).

“Selain itu, perkhidmatan pembedahan di hospital-hospital daerah juga akan dilengkapkan dengan perkhidmatan pembedahan dan sekiranya 40 peratus pembedahan dapat dilaksanakan di hospital daerah, ini akan dapat mengurangkan kesesakan hospital utama,” katanya kepada media.

Noor Hisham turut menafikan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) (Kejururawatan) yang akan ditutup, sebaliknya bakal dinaiktaraf sebagai pusat latihan kepakaran kesihatan.

“Latihan kejururawatan akan disepadukan dengan institut latihan lain dan institut yang kosong akan digunakan untuk latihan kepakaran yang lain antaranya adalah pusat latihan post basic.

“Kementerian turut akan memberi tumpuan menjadikan Sabah sebagai zon meningkatkan mutu penyelidikan di negara ini.

Noor Hisham bersama rombongan bergambar kenangan bersama Shafie (dua dari kanan).

Noor Hisham bersama rombongan bergambar kenangan bersama Shafie (dua dari kanan).

“Kita telah lihat penyelidik-penyelidik di Sabah telah dapat pengiktirafan dan dikenali di persada antarabangsa dengan penyelidikan terkini dalam bidang perubatan sebagai contoh dalam bidang kajian infectious diseases dan ini satu kejayaan yang baik kepada negeri ini,” jelasnya.

Noor Hisham juga mendedahkan, perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Services) akan dimulakan semula pada tahun ini.

“Kementerian kini dalam proses menyediakan tender baharu dan kita berharap ia akan diselesaikan secepat mungkin memandangkan terdapat keperluan perkhidmatan berkenaan.

“KKM akan kenal pasti kawasan yang memerlukan perkhidmatan berkenaan mengikut tender sedia ada dan bakal diselesaikan dalam tahun ini.

“Pada masa yang sama, peruntukan sebanyak RM3.3 juta daripada RM 7 juta akan digunakan bagi meningkatkan perkhidmatan pengangkutan di mana sebanyak 21 unit ambulan, bot dan pacuan empat roda akan diganti atau naik taraf,” tambah beliau.

Noor Hisham berkata demikian selepas mengadakan kunjungan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, pada Jumaat.

Turut hadir adalah Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Christina Rundi dan Timbalan Pengarah, Dr Abd Kahar Abd Asis.

EM

Tinggalkan komen anda