Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Pusat Pemindahan Mangsa Bencana Pertama Di Sabah

By 6 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Asmidar Zainol/Volintine Jiloh (Kota Kinabalu)

BEAUFORT, 6 Apr (Malaysiaaktif) – Pusat Perpindahan Mangsa Bencana Daerah Beaufort  menjadi pusat perpindahan pertama di Sabah yang dilengkapi dengan fasiliti asas bagi keselesaan mangsa bencana.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sabah, Kol (PA) Kamal Mokhtar menjelaskan, dewan berkenaan mula dibina pada 5 Disember 2016 dan siap pada 4 Jun 2018 dengan keluasan 1,200 meter persegi.

Pengarah Angkatan Awam Negeri Sabah, Kol (PA) Kamal Mokhtar.

Pengarah Angkatan Awam Negeri Sabah, Kol (PA) Kamal Mokhtar.

“Dewan ini boleh menempatkan 480 orang semasa waktu tidak kritikal dan semasa waktu kritikal boleh mencecah hingga 2,000 orang.

“Pusat yang dibina dengan kos RM4.5 juta ini dilengkapi dengan kemudahan tandas, bilik mandi, stor bahan mentah dan bahan keperluan, bilik operasi, surau lelaki dan wanita, heli pad, dapur, rumah sampah dan boleh memuatkan 96 khemah kecemasan pada satu-satu masa.

Antara khemah kecemasan yang dipasang dalam pusat berkenaan.

Antara khemah kecemasan yang dipasang dalam pusat berkenaan.

“Pembinaan pusat ini bersesuaian dengan keadaan semasa di mana kita dapat mengurangkan kebergantungan dengan sekolah bagi mengelak berlakunya gangguan kepada aktiviti persekolahan,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian kepada media selepas majlis perasmian pusat berkenaan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hari ini.

Wan Azizah (tengah) menandatangani plak perasmian pusat berkenaan.

Wan Azizah (tengah) menandatangani plak perasmian pusat berkenaan.

Sementara itu, Penolong Pegawai Daerah Beaufort (Pembangunan), Peter Moinjil berkata pusat berkenaan merupakan projek kerajaan persekutuan dan diserahkan kepada kerajaan negeri.

“Pusat ini akan diletakkan di bawah Pejabat Daerah dan pengoperasiannya akan dilaksanakan oleh APM.

“Antara sebab pusat ini dibina di daerah ini adalah kerana kawasan Membakut yang berhampiran Beaufort terdedah dengan risiko bencana terutamanya banjir.

Wan Azizah (dua dari kiri) semasa sidang media.

Wan Azizah (dua dari kiri) semasa sidang media.

“Pusat pemindahan ini akan memberi manfaat kepada lebih 85 ribu penduduk di daerah ini,” jelas beliau.

Tambahnya, sekiranya tiada bencana, pusat berkenaan akan digunakan sebagai tempat latihan kesiapsiagaan menghadapi bencana, ceramah kesedaran bencana dan sebagainya.

Hadir sama adalah wakil Ketua Menteri merangkap Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Yusof Yacob serta Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

EM

Tinggalkan komen anda