
Laporan/foto: Mohd Yusof Abd Samad (Tangkak)
TANGKAK, 16 Apr (Malaysiaaktif) – Pertandingan Memancing Udang Galah di Jeti nelayan kampung Grisek, Tangkak amat bermakna bagi masyarakat setempat berikutan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub turut hadir bersama dan menyempurnakan acara Memancing Udang Galah, baru-baru ini.
Pertandingan yang dianjurkan berjaya menarik hampir 200 peminat sukan memancing dan peserta yang hadir bukan sahaja dari kampung terbabit malah dari kampung-kampung berhampiran dan sekitar daerah Tangkak.
Bagi masyarakat Kampung Grisek pula, acara seperti ini amatlah dialu-alukan untuk dianjurkan di kawasan mereka kerana mampu menarik orang luar untuk mengenali Kampung Grisek.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub beramah mesra sambil mendengar permasalahan daripada nelayan tempatan
Nelayan Kampung Grisek semestinya berasa bertuah kerana Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sudi hadir ke kampung ini dan kesempatan yang ada merupakan peluang mereka untuk beramah mesra sambil menyuarakan permasalahan yang dialami warga nelayan tempatan.
Salahuddin Ayub yang sempat ditemubual menyatakan Pengkalan nelayan Kampung Grisek sangat sesuai dikunjungi bukan sahaja untuk memancing malah sesuai untuk aktiviti riadah.
“Dari tahun 2016 hingga 2019, kerajaan telah berusaha melebarkan lagi Sungai Endau dan Sungai Semberong bagi memberikan kemudahan dan keselesaan kepada nelayan di kedua-dua lokasi ini.
“Tanpa adanya kerjasama dari jabatan yang terlibat seperti Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Alam Sekitar untuk melebarkan sungai berkenaan, agak sukar untuk Jabatan Perikanan memudahkan urusan masyarakat tempatan mencari rezeki,” ujarnya.
Rahmat Kasran, 43, ketika ditemui menyatakan kehadiran pemimpin ke lokasi nelayan yang terletak di luar bandar ini bukan sahaja dapat mendekati mereka malah memahami segala permasalahan yang dihadapi.
Sementara itu, Jamil Basiron, 47, salah seorang pengunjung yang sempat ditemui menyatakan dengan adanya acara di Kampung Grisek dapat mempromosikan kampung tersebut kepada masyarakat luar daerah dan kemudahan yang disediakan turut memberi manfaat kepada nelayan tempatan mencari rezeki.
Selain pertandingan memancing, turut diadakan pertandingan memasak dan cabutan bertuah untuk memeriahkan lagi program selain menarik ramai pengunjung.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Pegawai Daerah Tangkak, Adun Serom serta ketua-ketua jabatan dan agensi daerah Tangkak.
EM