Skip to main content
Berita TempatanHomeLabuan

Persefahaman Antara PL, FINAS Dan Skop Productions Angkat Nama Labuan

By 30 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian

LABUAN, 30 April (Malaysiaaktif) – Memorandum persefahaman (MoU) yang pertama antara Perbadanan Labuan dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta Skop Productions Sdn Bhd bakal mengangkat nama Labuan.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad, hasrat Perbadanan Labuan untuk mengadakan MoU ini adalah satu usaha untuk mengangkat lagi nama Wilayah Persekutuan Labuan di peringkat yang lebih luas.

“Kita sedia maklum, Labuan adalah sebuah pulau yang sangat menarik dengan kedudukannya yang strategik serta mempunyai identitinya yang tersendiri sebagai sebuah pulau tropika, jajaran pantainya yang indah serta bersih, kepelbagaian budaya serta keharmonian penduduk di pulau ini sendiri yang cukup mencuit hati pengunjung dan pelancong untuk datang bertandang, maka tidak hairanlah sekiranya Labuan akan terus menjadi sebuah lokasi penggambaran filem yang terkemuka.

“Melalui MoU ini, bidang kerjasama yang akan dimeterai oleh Perbadanan Labuan dan kedua-dua badan ini tertakluk kepada undang-undang, peraturan dan dasar Negara yang berkuatkuasa dari semasa ke semasa yang mana semua pihak bersetuju untuk mengambil langkah-langkah yang perlu bagi membangun, berkongsi, menyokong, mempromosi dan saling berkerjasama untuk mempromosi Wilayah Persekutuan Labuan sebagai destinasi penggambaran serta penerbitan filem  ke arah destinasi pelancongan kreatif yang berdaya saing.

Pengarah Urusan  Skop Production, Datuk Yusof Haslam (tiga dari kanan) selepas menandatangani MoU dengan PL.

Pengarah Urusan Skop Production, Datuk Yusof Haslam (tiga dari kanan) selepas menandatangani MoU dengan PL.

“Antara bidang kuasa SKOP yang dilihat mampu untuk membantu Wilayah Persekutuan Labuan adalah dari aspek peluang dan pendedahan kepada penduduk tempatan Wilayah Persekutuan Labuan untuk terlibat sebagai tenaga kerja produksi bagi penggambaran dan penerbitan filem yang dijalankan di pulau ini sekaligus membantu meningkatkan sosio ekonomi komuniti setempat,” katanya.

Jelasnya, FINAS itu sendiri berperanan dalam menggalak dan memudah pembangunan industri filem merangkumi sektor pengeluaran, pengedaran dan pemameran di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Ia secara tidak langsung membantu menjana galakan pelaburan ke pulau ini khususnya dan Malaysia amnya melalui aktiviti-aktiviti perfileman tempatan selain turut memberikan manfaat dalam membangun modal insan dan komuniti filem di Wilayah Persekutuan Labuan bersama kumpulan sasar melalui program-program yang dilaksanakan,” katanya pada majlis Menandatangani dua Memorandum Persefahaman Antara Perbadanan Labuan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Skop Productions Sdn Bhd semalam.

Sementara itu, Pengerusi FINAS, Datuk Gerald Hans Isaac berkata, pihaknya berterima kasih kepada Perbadanan Labuan kerana memberi peluang para penerbit datang dan membuat pengambaran di Labuan.

“Ini satu inisiatif yang bagus sebab menjadi kesukaran kebanyakan penerbit dari semenanjung untuk datang ke Labuan atau bahagian Borneo  yang lain, dengan bantuan ini lebih ramai penerbit yang akan mengambil inisiatif untuk datang ke Labuan serta menunjukkan apa kelebihan atau keunikan yang ada di Labuan,” katanya.

EM

Tinggalkan komen anda