Skip to main content
Berita TempatanSelangor

Tabika KEMAS Akan diperkasa – KSU

By 22 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 22 Apr (Malaysiaaktif) – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berhasrat meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di tabika kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) khasnya menggunakan kaedah dari negara Jepun.

Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, hasil tinjauan beliau di Tabika KEMAS Kampung Melayu Batu 16 Rawang, kaedah tersebut sesuai diadaptasi bagi meningkatkan dan memperkasa program pendidikan awal kanak-kanak.

“Tabika ini merupakan satu-satunya di negara ini yang menggunakan kaedah pembelajaran dan pengajaran dari negara Jepun sejak tahun 2002 hasil kerjasama dengan Japanese International Cooperation Agency (JICA).

“Kaedah ini didapati ada kemajuan yang jelas daripada segi impak dan sebagainya. Ini memberi idea kepada kita untuk memperkasakan ke tabika-tabika lain.

“Kita lihat kaedah-kaedah ini boleh diadaptasikan di seluruh negara dalam usaha meningkatkan dan memperkasa tabika KEMAS dalam program pendidikan awal kanak-kanak. Banyak nilai-nilai baik yang boleh diambil,” katanya.

Tabika KEMAS Batu 16 Rawang merupakan satu-satunya tabika di negara ini menggunakan kaedah dan pembiayaan dari negara Jepun.

Tabika KEMAS Batu 16 Rawang merupakan satu-satunya tabika di negara ini menggunakan kaedah dan pembiayaan dari negara Jepun.

Mengulas lanjut, Ahmad Jailani berkata, sebelum ianya dapat dilaksanakan sepenuhnya ke seluruh tabika, pelbagai aspek perlu diteliti terlebih dahulu.

“Bukan hanya sudut pengajarannya sahaja, pelbagai aspek perlu dilihat seperti keupayaan tenaga pengajar, keboleh laksanaan, peralatan dan ruang pembelajaran.

“Mengenai cadangan mengumpulkan alumni Tabika Batu 16 pula, ianya satu idea yang baik untuk melihat adakah proses pembelajaran itu masih diamalkan hingga ke hari ini, KEMAS akan lakukan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program turun padang meninjau sesi pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan kaedah tadika di negara Jepun di Tabika KEMAS Kampung Melayu Batu 16 Rawang, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Amirudin Ariffin; Pengarah KEMAS Selangor; Mohd Ali Hanafiah Abu Hassan dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Melayu Batu 16 Rawang, Ir Adnan Ahmad.

-NAZ

Tinggalkan komen anda